Pendapatan lumayan, masa berkualiti dengan keluarga: Tarikan sebenar berniaga MLM
Cendawan herba yang didakwa boleh melawan barah, seluar untuk meringankan skoliosis – inilah antara produk yang dipasarkan industri perniagaan berbilang tingkat (MLM) yang sering menarik pengedar. Sejauh mana dakwaan jualan mereka boleh dipercayai?

SINGAPURA: Sejak ibu mentuanya menyertai sebuah syarikat pemasaran bertingkat (MLM), Elaine Hing dan suaminya Kelvin Lim, telah menerima produk seperti kopi yang dicampur dengan cendawan herba "lingzhi", yang dikatakan boleh menghapuskan radikal bebas.
Mereka menerima sebuah buku kecil promosi - mengenai sejenis serbuk, misalnya, yang dikatakan dapat menghentikan sel-sel barah daripada membiak.
"Dia memang mempercayai dakwaan itu," kata Hing. "Itulah sebabnya dia fikir bahawa dia sedang menolong orang lain ... dengan cuba mempromosikan produk ini."
Ini membuat Hing risau, sehingga beliau menulis kepada program CNA Talking Point supaya menyiasat semua dakwaan tersebut.
Wanita tua itu begitu bersemangat sehingga dia cuba merekrut Hing dan Lim sebagai pengedar. Cita-citanya agar suatu hari nanti dia boleh menyerahkan kepada mereka apa yang telah dapat dibinanya untuk mereka.

"Saya masih ingat dia beritahu saya bahawa apa sahaja yang dia bina sekarang, berapa ramai jurujual yang dia rekrut, semuanya ditambahkan ke dalam satu peringkat. Apabila dia naik ke peringkat-peringkat yang lebih tinggi, dia akan mendapat lebih banyak pendapatan," kata Lim.
"Dan apabila dia (tiada lagi) di dunia ini, dia akan menyerahkan segala-galanya kepada saya, termasuk ... pengedar bawahannya.”
Pengedar bawahan merujuk kepada pengedar yang telah direkrut oleh ibunya, di mana jualan mereka menghasilkan pendapatan baginya.
Inilah apa yang dikatakan sebagai dunia MLM dan jualan langsung, di mana produk penjagaan kulit, produk cendawan herba yang kononnya melawan barah dan seluar untuk membetulkan keadaan skoliosis adalah sebahagian daripada produk yang ditawarkan.
Bidang niaga ini mempunyai reputasinya yang meragukan di kalangan sesetengah pengguna. "Setiap kali saya mendengar orang berkata 'MLM', saya amat skeptikal mengenainya," kata seorang pengguna dalam temu bual rambang dengan beberapa penonton di YouTube.
Namun begitu, MLM masih berkembang pesat di Singapura, seperti yang didedahkan oleh program Talking Point.
SAKSIKAN: MLM — Peluang perniagaan atau penipuan?
DILARANG, TAPI DIBERI PENGECUALIAN
Skim MLM sebenarnya dilarang di bawah Akta Pemasaran Bertingkat dan Penjualan Piramid (Larangan), yang pertama kali diluluskan pada tahun 1973 dan dipinda pada tahun 2000 untuk mencekup mereka yang terlibat dalam semua skim perniagaan bersifat bertingkat.
Tetapi pengecualian dibenarkan kepada perniagaan yang sah seperti syarikat insurans, francais utama dan syarikat jualan langsung yang memenuhi kriteria tertentu. Ia termasuklah seperti memberi ganjaran kepada peserta berdasarkan penjualan produk atau perkhidmatan dan bukan berdasarkan pengambilan peserta tambahan.
Syarikat jualan langsung tidak seharusnya meminta ahli membayar yuran pendahuluan yang tinggi - yang mungkin diperolehi dalam bentuk yuran keahlian atau pembelian produk dan perkhidmatan - untuk menyertai skim.
Tidak semua teknik MLM dianggap sebagai tidak diingini, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan di laman webnya. Perniagaan sah yang menggunakan taktik jualan inovatif "tidak sepatutnya dikaitkan dengan skim piramid," tambah kementerian itu.
Skim piramid merujuk kepada skim MLM haram yang memerlukan peserta membayar caj pendahuluan yang tinggi sebagai ganjaran kewangan sedang lebih ramai peserta direkrut ke dalam skim-skim tersebut.
Skim sedemikian berisiko dari segi kewangan kerana strukturnya akan gagal pada akhirnya apabila syarikat kehabisan rekrut baru.
Apabila dihubungi Talking Point, syarikat yang produknya diedarkan oleh ibu mentua Hing enggan mengulas tetapi menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai produknya supaya menghubungi khidmat pelanggannya.

Pakar onkologi dan pengarah perubatan Pusat Barah Wong Seng Wen membantu menilai ciri-ciri kesihatan yang didakwa dimiliki produk-produk "lingzhi" atau Ganoderma.
"Ada bukti menunjukkan bahawa (Ganoderma) mengaktifkan sistem imun. Dan itu memang penting dalam memerangi barah," katanya
"Tetapi untuk membuat kesimpulan, berdasarkan hanya kajian pra-klinikal (ujian bukan manusia) dan pengalaman klinikal yang sangat terhad, bahawa ia benar-benar berkesan dalam pencegahan atau rawatan barah...ia memerlukan keyakinan yang terlalu besar."
Dalam jawapannya kepada pertanyaan Talking Point mengenai kopi Ganoderma, Agensi Makanan Singapura berkata label makanan dan iklan tidak boleh mengandungi janji-janji bahawa sesuatu produk boleh mencegah, mengurangkan atau menyembuhkan sebarang penyakit.
Sementara itu, Persatuan Jualan Langsung Singapura (DSAS) berkata bahawa sebagai sebuah badan perdagangan, ia tidak mempunyai hak undang-undang untuk memberitahu syarikat-syarikat tidak jujur supaya ditutup. Tetapi ia boleh mengawal sesiapa yang diakuinya sebagai anggota persatuan.
Bakal ahli mesti mengemukakan laporan mengenai pematuhan mereka terhadap undang-undang Singapura, kata Jeffrey Chang, naib pengerusi kedua persatuan itu.
Mereka juga mesti "menyerahkan semua bahan pemasaran mereka", yang akan disemak oleh persatuan itu bagi sebarang dakwaan yang dibesar-besarkan mengenai pendapatan yang boleh diperolehi dan mengenai produk-produknya.
Para pelanggan semua syarikat anggota DSAS dibenarkan untuk membatalkan pembelian mereka dalam tempoh pembatalan selama tujuh hari, tambah Chang, di mana persatuannya mempunyai 26 ahli sekarang.
'JIKA SAYA BERNASIB BAIK'
Sedang adanya keraguan terhadap dakwaan produk dan laporan negatif taktik penjual, soalnya mengapakah MLM masih dapat menarik pengedar?
Hasil tinjauan Talking Point mendapati bahawa antara sebabnya adalah kerana ganjaran yang boleh diterima bagi mereka yang berjaya dalam skim MLM. Satu lagi sebab, menurut para pengedar, tidak semua firma MLM menggunakan kaedah yang sama.
Apabila Chanee Yap pertama kali ketahui tentang firma MLM Best World International, dia mendapatinya "agak berbeza" daripada yang lain. Dia mengikuti satu demonstrasi produk penjagaan kulitnya tanpa diminta untuk membeli apa-apa, katanya. Ini membuatnya merasa "lebih selesa".

Hari ini, sebagai pengedar untuk Best World International, yang merupakan ahli DSAS, Yap memperoleh pendapatan "lima angka" sebulan - "10 kali lebih banyak" daripada ketika dia menjadi akauntan.
Dan disebabkan waktu kerjanya yang fleksibel, wanita berusia 40 tahun itu boleh menghabiskan "lebih banyak masa berkualiti" bersama keluarganya.
"MLM hanyalah satu lagi model perniagaan (di mana) syarikat mengedarkan produknya kepada pelanggan secara langsung," kata Yap. "Jika saya membeli produk itu dan saya menyukainya, dan saya cuba berkongsi dan menjualnya, saya akan mendapat komisen.
"Apabila rakan-rakan saya juga menyukainya, mereka juga akan menjualnya. Jadi saya mendapat pendapatan lebih daripada rangkaian yang lebih besar."
Dalam tempoh setahun, Yap dinaikkan pangkat untuk berada dalam kalangan tiga peringkat teratas, di mana kurang daripada 20 pengedar syarikat itu di Singapura yang telah berjaya mencapai tahap itu, katanya.

Meraikan kejayaan adalah salah satu cara di mana syarikat MLM menarik lebih ramai pengedar, kata pembantu profesor dalam pemasaran Sekolah Perniagaan Nanyang Eunsoo Kim, yang telah melakukan penyelidikan mengenai industri ini.
Syarikat-syarikat itu mungkin mengadakan "acara besar sebagai pembuka mata", katanya. "Mereka mungkin tidak akan menyampaikan ... satu angka sebenar. Contohnya ini adalah pendapatan sebenar yang anda boleh harapkan. Tetapi melalui acara seperti itu, anda mungkin merasakan bahawa 'Saya boleh memperolehi kejayaan seperti itu', dan anda (mengambilnya) sebagai petunjuk."
Bahkan pengalaman pahit pada masa lalu juga mungkin tidak mencukupi untuk mencegah mereka yang tertarik dengan potensi MLM.
Kelly Kam pertama kali menyertai MLM — dengan mengedar minyak pati — kerana dia terinspirasi dengan kejayaan “orang biasa” yang dapat mencapai “perkara-perkara menakjubkan” serta “membantu orang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka”.

Di sebuah konvensyen di Kuala Lumpur, dia melihat ketua-ketua jualan membawa beg tangan mewah, yang menambah kepada kehebatan industri ini. "Jika saya bernasib baik, saya boleh menjadi seperti mereka: Memiliki masa dan kebebasan kewangan serta dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga saya," katanya.
Tetapi ada syarat-syarat yang dikaitkan. Kam perlu membuat pesanan sekurang-kurangnya sekitar S$200 setiap bulan untuk memenuhi syarat bagi sebarang komisen sebagai pengedar.
Tidak lama kemudian, dia telah membeli lebih banyak minyak daripada apa yang dia dapat gunakan. Tempoh pandemik telah menghalangnya daripada bertemu dengan orang, dan Kam mendapati dirinya berbelanja lebih banyak daripada pendapatannya. "Selepas empat tahun, saya menyedari bahawa ia tidak masuk akal dari segi kewangan," katanya.
Dia mempunyai minyak pati yang cukup untuk "seumur hidup" tetapi dia tidak rasa menyesal. "Ada orang yang benar-benar mencapai (kejayaan)," katanya kepada CNA. "Setiap platform MLM yang berbeza akan disukai oleh individu yang berbeza."
Selepas berhenti dari firma MLM itu, dia bekerja sepenuh masa tetapi mendapati ia "sangat membebankan" kesihatannya. Kemudian dia menyertai program pengurusan berat badan yang ditawarkan oleh MLM lain. Dia berkata dia menjadi lebih sihat dan berjaya menurunkan berat badannya yang berlebihan.
Syarikatnya sekarang tidak memerlukan sebarang pembelian minimum. Rangkaian produknya merangkumi barangan kecantikan dan isi rumah, dan menurut Kam pendapatannya telah berkembang dengan stabil sejak hampir tiga tahun lalu.
Beliau juga telah membuka spa untuk "berkongsi produk dengan mereka yang berminat dengan kecantikan". Katanya: “Mungkin saya akan mendapat beberapa pengedar bawahan daripada perniagaan saya. Siapa tahu kan?"
