‘Belajar seberapa banyak bahasa’: Nasihat pelukis kartun terkenal Lat untuk anak-anak muda
Dalam wawancara siri tokoh awam dan personaliti CNA Lifestyle, kartunis terkenal Malaysia yang lebih dikenali sebagai Lat melukiskan beberapa gambaran zaman mudanya dan nasihat beliau untuk anak-anak muda hari ini.
SINGAPURA: Kartunis Malaysia Mohammad Nor Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat, mungkin sudah bersara tetapi dia masih seorang yang sibuk. Wawancara bersama beliau yang sepatutnya berlangsung selama sejam terpaksa dibahagikan kepada beberapa perbualan menerusi telefon kerana sedikit gangguan.
Semasa perbualan kami, beliau sedang berada dalam sebuah kedai rekod di Bandar baru Ipoh dengan bateri telefonnya hampir habis.
Apabila ditanya apakah yang dibelinya di kedai tersebut, dia berkata: "Saya mendapat album baharu Rolling Stones, Hackney Diamonds," jawabnya. “Saya dengar lagu baharu, Angry. ia bagus. Saya mula dengar lagu-lagu The Rolling Stones sejak 1965."
Sedang kami berbual mengenai muzik kumpulan legenda itu, saya sempat bertanyakan pandangannya tentang lagu-lagu baharu Beatles, Here And Now? "Bagi saya ia adalah lagu yang belum selesai," katanya. "Secara peribadi, saya tidak menyukainya sama sekali."
"Jika ada sesuatu yang baik, anda ingin mendengarnya berulang kali," tambahnya, merujuk lagu Beatles, Hey Jude. "Seperti apabila anda menonton filem baharu dan separuh jalan anda beritahu diri sendiri bahawa 'Saya mahu menontonnya lagi'."
Kartunis prolifik berusia 72 tahun itu yang pernah memenangi banyak anugerah, jelas seorang peminat muzik. Dia mempunyai koleksi rekod vinil, yang menurutnya lebih kerana kegemarannya mengumpul kulit-kulit album. Hari ini beliau mendengar muzik dari CD di dalam keretanya. Ketika bersenam atas treadmill milik anak perempuannya pula dia mendengar muzik yang dimuatturun ke telefonnya.
"Saya masih mendengar muzik dengan cara yang saya suka - penghibur lama dari zaman saya. Saya masih mendengar The Beatles, Rolling Stones, Bob Dylan, Elvis Presley, Cliff Richard."Dia juga pernah bermain gitar dan sedikit bass dalam sebuah kumpulan dengan beberapa rakan pada akhir 70-an dan awal 80-an. Dia tidak lagi bermain; dia tidak tahu di mana gitarnya sekarang, walaupun dia berkata dia kadang-kadang masih mengambil alat itu apabila dia melawat anaknya di Kuala Lumpur.
Perbualan dengan Lat dipenuhi dengan kenangan manis masa muda beliau – dari soal beliau berpindah ke beberapa pelusuk di Malaysia sejak usia dua tahun kerana tugas ayahnya sebagai kerani tentera hinggalah kepada tahun-tahun awalnya sebagai wartawan muda di Kuala Lumpur, di mana dia mendapati dirinya kekurangan wang selama beberapa bulan kerana ia telah dihabiskan di kelab malam popular setiap hari gaji. "Gaji kami hanya sekitar 200," kata beliau.
Dalam satu lagi kenangan, Lat mengimbau kembali saingan antara Bandar Baru Ipoh dengan Ipoh Lama tahun-tahun 60-an semasa zaman remajanya yang terkenal dengan seluar yang sangat ketat. “Kami diperhatikan oleh polis kerana fesyen kami. Mereka sangat tegas pada zaman itu. Kadang-kadang mereka akan membuat kami cangkung di kaki lama supaya kita menderita dalam seluar ketat itu."
Lat juga berkongsi bahawa dia baru-baru ini telah kembali ke kem tentera di Mentakab, Pahang, selepas 60 tahun – kerana di situlah dia pertama kali bersekolah, dan juga tempat dia belajar menunggang basikal.
"Saya mahu menunjukkan kepada isteri saya di mana saya berada, apa yang saya lakukan semasa saya berumur enam atau tujuh tahun," kata Lat. “Ada bangunan baharu tetapi tidak sebanyak yang saya ingat. Sekolah di mana saya masuk ke darjah satu dan dua, dan tempat saya menulis komik dalam Jawi dan ditampal cikgu ke dinding, masih ada di situ.
“Semua kenangan itu sentiasa bersama saya. Saya masih ingat nama kawan-kawan dan guru-guru, dan saya hanya mahu kembali dan melihat sekolah itu – ia hanyalah sebuah bangunan satu tingkat yang masih berdiri teguh.”
Nostalgia yang sama inilah yang Lat begitu mahir menghidupkannya dalam lukisan-lukisan komiknya, bermula dengan karya awalnya: Tiga Sekawan Tangkap Pencuri, yang dilukisnya ketika berusia 13 tahun, sehinggalah kepada karya-karya popularnya yang lain dalam siri-siri Kampung Boy, Town Boy dan Lat. Dan juga dalam lukisan kartunnya untuk harian Bahasa Inggeris Malaysia, New Straits Times.
NASIHAT KEPADA ANAK MUDA
Lat, yang nama penanya adalah singkatan untuk Bulat, menyertai Temasya Penulis Singapura sebagai salah seorang penceramah utama pesta yang berlangsung pada Sabtu (25 Nov).
Beliau juga menjadi salah seorang anggota panel yang membincangkan persoalan tentang apa yang diperlukan untuk menjadi kartunis atau artis komik di Asia Tenggara hari ini dan bagaimana ini boleh dicapai menerusi sejarah.
Lat pada mulanya agak keberatan untuk bercakap tentang pengajaran yang boleh dipelajari dari pengalamannya semasa muda. Ini kerana “sekiranya kita katakan semula kepada diri kita (apa yang dipelajari tentang itu atau ini), ia bermakna ada beberapa perkara yang kita kesali atau tidak berpuas hati tentang apa yang dicapai.”
"Jika saya beritahu anda bahawa saya sepatutnya beritahu diri saya supaya menyimpan wang di bank – suatu yang saya tidak lakukan –(nasihat itu) seperti tidak datang dari Lat yang sebenarnya,” kata beliau.
Bagaimanapun, apabila kami menyambung semula perbualan beberapa hari kemudian, Lat berkongsi, "Satu perkara yang saya harap saya lakukan ialah mempelajari lebih banyak bahasa selain bahasa Inggeris dan Melayu", seperti Jepun, Cina dan Jerman.
"Saya fikir saya cuba memberitahu orang muda dan generasi hari ini untuk belajar sebanyak mungkin (bahasa) kerana ia membantu."
Lat juga berkata kalau dirinya masih muda beliau akan memberitahu dirinya supaya menjalin seberapa banyak kawan yang mungkin. Walaupun hari ini beliau memang mempunyai ramai kawan sekarang di Malaysia dan di tempat-tempat lain - sebahagian daripada mereka sentiasa berhubung dengannya selama beberapa dekad - beliau tidak dapat mengelak daripada merasakan bahawa terdapat banyak peluang yang terlepas untuk membuat hubungan bermakna pada masa lalu.
Dia mengakui bahawa ketika pertama kali berpindah ke Kuala Lumpur pada usia 19 tahun, dia mempunyai "semacam kompleks" terhadap orang bandar kerana dirinya hanya seorang budak kampung dari Ipoh. "Mereka berusaha untuk mengenali saya dan saya malu-malu lah," kata Lat.
"Itu tidak baik. Jika saya menemui orang-orang itu lagi, saya akan agak malu. Kenapa saya menjauhkan diri? Saya bimbang orang Kuala Lumpur berbeza dan sombong (angkuh) – tetapi tidak, ia hanya kompleks saya sendiri.”
Bagaimanapun, akhirnya, dia menyimpan satu perasaan yang tidak banyak berubah sepanjang tahun-tahun yang berlalu. Dia berkata, sambil tergelak, apabila membandingkan foto-fotonya termasuk yang lama, membuatnya sedar: “Saya masih mempunyai rupa seorang yang memikirkan sesuatu".
KISAH-KISAH YANG PERLU DICERITAKAN
Kampung Boy, komik yang telah melancarkan kerjayanya yang panjang dan berjaya, diterbitkan pada tahun 1979. Ia diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Jepun, Perancis dan Portugis, dan juga telah diadaptasi ke dalam siri TV. Sejak itu beliau telah menghasilkan lebih 20 jilid komik.
Beliau telah menerima pelbagai anugerah dalam kerjayanya yang cemerlang, termasuk Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada 2002 dan Anugerah Merdeka pada 2014. Pada Julai 2023, beliau dikurniakan gelaran Seniman Diraja oleh Sultan Perak, sebagai memperingati pembukaan Galeri Lat House di Batu Gajah, Perak, yang memaparkan karya Lat dan mengisahkan kehidupannya.
Lat masih mencari masa untuk melukis. Pada masa ini, dia sedang menyiapkan buku baharu dalam siri Mat Som, kisah tentang anak muda di Kuala Lumpur yang berlatarkan era yang sama dengan buku sebelumnya. Dia telah menyiapkan semua lukisan buku itu dan sedang mengusahakan dialog dan kapsyen, yang menurut Lat adalah sukar dilakukan. "Apabila saya menulis ayat, saya mahu ia bermakna kerana ia bukan sesuatu yang kosong.”
Beliau juga mengakui kini dia mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan lukisan-lukisannya: "Semakin kita tua, semakin perlahan kita anda bekerja."
Bagaimanapun, Lat belum bersedia untuk menyimpan pena lukisannya. Adakah beliau masih mempunyai banyak lagi kisah untuk diceritakan? "Mungkin banyak cerita pendek."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.