Gemar sashimi tetapi takut termakan cacing parasit? Ini tip untuk menghindarinya
Selepas kejadian di mana pelanggan menemui cacing dalam sashimi yang dibeli, program Talking Point melakukan tinjauan mengenai keselamatan sushi yang dijual di Singapura. Ia juga berkongsi beberapa tip untuk memeriksa adanya parasit dalam ikan mentah.

SINGAPURA: Dua bulan lalu, seorang pengguna TikTok, Jeff Koh, teringin makan sushi, lalu pergi membelinya di sebuah kedai yang popular di Woodlands.
"Kedai ini sentiasa sesak dengan pembeli beratur panjang. Jadi saya percaya dengan (piawaian) kebersihannya, " kata Jeff.
Tetapi apabila tiba di rumah, dia mendapati apa yang kelihatan seperti “beberapa ekor” cacing putih pada hirisan ikan mentah, atau sashimi yang dibelinya itu.
Koh kemudian memuat naik video tentang penemuannya di TikTok dengan menyebut nama akaun rasmi kedai sushi itu dan pihak media di dalam hantarannya itu, sambil bertanya apakah yang perlu dilakukan pembeli jika menemui parasit pada sushi mereka.
Walaupun kejadian itu tidak membuatkan Koh hilang minat terhadap sashimi, dia telah mengubah tabiat makannya. Kini dia pergi ke "restoran Jepun yang betul" untuk menikmati hidangan itu.
"Sekarang saya akan melihat dengan lebih dekat salmon mentah untuk memeriksa sama ada terdapat sebarang parasit atau cacing di atasnya. Saya akan membalikkan ... sushi itu," katanya.

Ada banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pengguna. Para pakar dan pengusaha industri berkongsi tip dengan program CNA Talking Point, yang juga menjalankan eksperimen kecil untuk melihat sejauh mana selamat memakan ikan mentah di Singapura.
BAGAIMANA CACING MASUK KE DALAM IKAN?
Ikan mentah mungkin biasa dimakan di sini, tetapi Agensi Makanan Singapura (SFA) menganggapnya sebagai "makanan berisiko tinggi" kerana ia tidak pernah melalui proses memasak.
"Selain pencemaran mikrobiologi, pengambilan ikan mentah yang sedia dimakan juga membawa risiko dijangkiti penyakit parasit," kata agensi itu kepada CNA pada Februari, selepas seorang lagi pengguna menemui cacing parasit dalam set nasi sashimi dari sebuah kedai rangkaian diskaun Jepun.
Dua cacing parasit yang terkenal adalah cacing gelang - seperti Anisakis - dan cacing pita.
Pada mulanya, cacing parasit dewasa akan bertelur dalam usus pemakan seperti ikan lumba-lumba.
Telurnya dilepaskan bersama najis pemakan dan menetas menjadi larva yang berenang bebas, kata pensyarah sains alam sekitar dan marin Politeknik Republik Marie Tan.
Larva-larva tersebut akan berenang mencari tuan rumah seterusnya. Ia boleh dimakan oleh udang, yang seterusnya dimakan oleh ikan.
Kata Tan, jika ikan itu dimakan oleh manusia, maka orang itu pula yang akan menjadi "tuan rumah" cacing parasit tersebut.
Memang biasanya cacing parasit boleh ditemui dalam ikan, terutama yang ditangkap dari habitat liar, katanya. Tetapi ia jarang berlaku pada ikan-ikan ternakan, yang dibesarkan dalam keadaan lebih terkawal.

BAGAIMANA NAK TAHU SUDAH TERMAKAN CACING?
Pengguna yang telah memakan cacing Anasakis secara tidak sengaja boleh mengalami pelbagai gejala termasuk loya, muntah, cirit-birit dan najis cair, kata pakar penyakit berjangkit Ling Li Min dari Klinik Rophi.
Ada juga yang mendapati darah dalam najis mereka tetapi kebanyakan simptomnya sukar dibezakan dengan keracunan makanan yang biasa, kata beliau.
Satu lagi parasit ikan yang mungkin dimakan oleh penggemar ikan mentah ialah cacing pita, yang boleh membesar sehingga dua atau tiga meter. Ramai mungkin tidak menyedari bahawa mereka telah memakan cacing pita, kata Ling, yang telah merawat tiga jangkitan cacing pita tahun lalu.

Mereka mungkin tidak menunjukkan gejala seperti cirit-birit atau loya sehingga mereka "menemui sesuatu ... yang menjalar dalam najis (mereka)," katanya.
Cacing pita tidak akan menyebabkan penyakit yang mengancam nyawa dengan segera, tetapi boleh menyebabkan masalah jika ia kekal berada dalam badan manusia, katanya. "Ingat - ia melekat pada usus, jadi ia akan mengganggu penyerapan zat makanan. Semua ini akan menimbulkan masalah kesihatan umum.”
Itulah sebab mengapa individu perlu mendapatkan bantuan perubatan, tambahnya.
Walaupun cacing parasit sesuatu yang menakutkan, ia bukanlah sesuatu yang biasa berlaku dalam kalangan pesakit-pesakit yang dirawat oleh Dr Ling. Sebaliknya keracunan makanan yang disebabkan oleh bakteria seperti Salmonella, Escherichia Coli (E. Coli), Vibrio dan Listeria monocytogenes adalah perkara yang "lebih biasa" berlaku.
HANYA 1 DARIPADA 15 SAMPEL GAGAL UJIAN
Bagi menguji keselamatan sushi yang dijual di Singapura, Talking Point menghantar 15 sampel salmon sashimi dari pelbagai sumber - peruncit dalam talian, pasar raya dan kedai makan jenis bajet sehinggalah yang mewah - ke sebuah makmal.

Sampel-sampel tersebut diuji untuk mengesan parasit serta bakteria seperti Salmonella, E. Coli, Vibrio parahaemolyticus dan Listeria monocytogenes. Pada individu yang sihat, bakteria ini boleh menyebabkan penyakit yang ringan, kata Ling. Tetapi pada orang yang mempunyai daya ketahanan tubuh yang lemah, kesannya boleh menjadi teruk atau mengancam nyawa.
Ling memberi penekanan kepada Listeria kerana potensinya yang boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan juga keguguran pada wanita hamil.
Tiada parasit ditemui dalam 15 sampel tetapi ujian makmal menunjukkan terdapat pencemaran pada dua sampel. Hanya satu sampel, yang dibeli dari kedai mesra bajet, tidak sesuai untuk dimakan kerana Listeria dapat dikesan. Menurut peraturan makanan Singapura, bakteria itu tidak sepatutnya dikesan dalam makanan jenis sedia dimakan.
Satu lagi sampel lain, dari kedai runcit dalam talian, mengandungi tahap E. Coli yang boleh diterima - dengan 20 unit pembentukan koloni bagi setiap gram. Angka ini adalah lebih rendah daripada had 100 unit pembentukan koloni setiap gram untuk makanan pejal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, jelas Agnes Ye, pengurus kanan dan ketua jabatan mikrobiologi di syarikat ujian dan pemeriksaan Setsco Services.

E. Coli boleh berada dalam makanan jika pengendali makanan tidak mencuci tangan dengan betul, kata Ye.
Listeria, sejenis bakteria yang gemar sejuk boleh bertahan walaupun dalam peti sejuk, dan ia boleh masuk dalam makanan pada bila-bila masa di sepanjang rantaian bekalan, katanya. "Sebagai contoh, jika meja kotor dan anda letakkan ikan anda di atasnya. ... Selepas itu, apabila anda membungkus ikan tersebut, bakteria itu masih boleh berada di dalamnya.
"Sebenarnya, semua bakteria ini tidak sepatutnya ditemui dalam semua 15 sampel yang diuji."
SFA mengesyorkan membeli ikan mentah yang sedia dimakan daripada kedai-kedai berlesen sahaja.
Pengguna boleh menjadikan ikan mentah sebagai barang terakhir yang dibeli dengan menyimpannya dalam beg tertutup, demikian menurut garis panduan yang dikeluarkan pada 2021 oleh agensi Enterprise Singapore dan Majlis Piawaian Singapura.
Di rumah pula, ikan haruslah diletakkan dalam peti sejuk pada suhu antara kosong dan empat darjah Celsius secepat mungkin selepas dibeli dan ikuti arahan pada pembungkusan mengenai cara mengendalikan dan menyimpan produk tersebut. Sebelum dan selepas mengendalikan ikan, mereka perlu mencuci tangan dan perkakas dengan teliti. Produk beku yang telah dicairkan tidak harus dibekukan sekali lagi.
MAKAN DI LUAR? INI CARA UNTUK PERIKSA SASHIMI
Bagi mereka yang makan di luar, cef Koezuka Yoshihiko, pengurus besar Kuriya Dining, memberi beberapa tip untuk mengurangkan kemungkinan memakan sashimi yang mengandungi cacing.
Dengan menggunakan ikan kampachi atau ikan selar yang diterbangkan dari pasar ikan di Osaka sebagai contoh, Yoshihiko berkata mata ikan yang "jernih" menunjukkan kesegaran ikan itu.
Cacing biasanya dijumpai dalam usus ikan, jadi ikan Kuriya Dining yang diimport sudah pun dibuang ususnya di Jepun.
Pelanggan perlu memeriksa permukaan ikan sebelum mereka makan, serta memeriksa ruang dimana isi telah dihiris. Mereka juga perlu memastikan tiada lubang dalam daging dan, akhirnya, memeriksa kekenyalannya, kata Yoshihiko. "Sekiranya terdapat cacing di dalam atau jika ikan tidak segar, dagingnya mungkin lembut sikit."

SFA mengesyorkan syarikat yang mengimport dan memproses ikan mentah sedia dimakan supaya melakukan pembekuan mendalam. Namun tidak ramai yang melakukannya kerana pembekuan mendalam akan mengubah tekstur ikan mentah itu. Bagaimanapun, pengimport berlesen mempunyai langkah-langkah kebolehkesanan dan pelbagai amalan yang ditetapkan.
Mereka memohon permit pelepasan kargo setiap kali mereka mengimport ikan, kata naib presiden dapur utama syarikat perkhidmatan makanan RE&S Enterprises, Kenny Ng. Ini adalah untuk tujuan mengenal pasti sekiranya berlaku insiden pemakanan, sumber ikan mentah dan dari kumpulan ikan yang mana, yang menyebabkan sesuatu insiden pemakanan itu.
Sepanjang proses pengangkutan, ikan disimpan pada suhu dibawah empat darjah Celsius, tambah Ng.

Kotak-kotak yang tiba di ibu pejabat RE&S akan diperiksa untuk memastikan ia tidak rosak. Sebagai sebahagian daripada prosedur syarikat, sampel akan diambil dari senarai pemprosesan dan dihantar ke makmal jaminan kualiti syarikat. Di makmal ia akan menjalani ujian bagi memastikan sebarang bakteria yang ditemui mestilah berada bawah had yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Ikan yang lulus pemeriksaan akan dibersihkan dan dihiris, kemudian dibungkus dan dihantar ke restoran. Label-label menunjukkan tarikh luput dan sebarang sisa makanan akan dibuang oleh restoran, kata Ng.
Saksikan episode Talking Point di sini.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai bagaimana apabila cuaca mencapai 40°C boleh menjejaskan kehidupan seharian kita.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.