Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Udaranya nyaman, lagi menjimatkan wang: Projek bumbung 'sejuk' di Indonesia boleh atasi masalah suhu panas 

Produk BeCool ini mudah digunakan serta lebih mesra iklim daripada alat hawa dingin. Perekanya beritahu CNA bagaimana dia berharap dapat meluaskan penggunaannya sebagai lapisan peredam haba panas.  

Udaranya nyaman, lagi menjimatkan wang: Projek bumbung 'sejuk' di Indonesia boleh atasi masalah suhu panas 

Tiada alat dingin? Pemasangan bumbung "sejuk" di bumbung rumah dan bangunan-bangunan boleh mengurangkan suhu panas. (Foto: BeCool Indonesia)

BANDUNG, Indonesia: Dalam rantau Asia yang mungkin sering mengalami gelombang haba seperti baru-baru ini, kini ada cara yang lebih murah dan mampan untuk menjadikan suhu udara sedikit lebih rendah bagi para penduduk di kawasan bandar. 

Caranya adalah dengan memasang bumbung "sejuk" yang  mempunyai salutan khas yang digunakan untuk memantulkan cahaya matahari dan mengurangkan jumlah haba yang diserap oleh bangunan. Hasilnya ialah suhu dalam bangunan yang lebih rendah.

Di Indonesia, negara terbesar di Asia Tenggara, sebuah projek yang diperjuangkan oleh seorang pensyarah seni bina Beta Paramita boleh menjadi huraian atasi masalah suhu panas dengan menggunakan kaedah yang mesra iklim. 

Biasanya bangunan-bangunan komersial dan pejabat yang mampu membeli penghawa dingin di Indonesia, manakala sekolah kebanyakannya tidak mempunyai alat hawa dingin dan begitu juga 80 peratus rumah-rumah, kata Beta, pengurus projek Cool Roofs Indonesia.

Tahun lepas, Cool Roofs Indonesia memenangi pertandingan Million Cool Roofs Challenge — satu peraduan global yang bertujuan meningkatkan penggunaan bumbung sejuk di negara membangun yang mengalami tekanan haba. Ia memenangi pertandingan itu dengan menerima geran AS$750,000 (RM3.5juta).

Sebelum itu, projek mereka memenangi geran AS$125,000 sebagai salah satu daripada 10 finalis dalam cabaran 2019, dengan finalis lain dari negara seperti Bangladesh, Filipina dan Afrika Selatan.

Pada mulanya, projek itu umumnya merangkumi kediaman awam, kata Beta. Tetapi kebanyakannya bersaiz kecil dengan lebih banyak kegiatan pada waktu malam dibandingkan pada sebelah siang hari. Hasilnya, pasukan penyelidik itu menyasarkan projeknya kepada institusi pendidikan dan agama.

“Dari 7 pagi hingga 2 atau 4 petang, kanak-kanak, terutamanya pelajar sekolah rendah, (berada) di dalam bangunan,” kata Beta. Jika cuaca terlalu panas, murid tidak boleh menumpukan perhatian dan menunjukkan prestasi lemah dalam ujian kognitif pada sebelah petang berbanding pada sebelah pagi, tambahnya.

Sekitaran bilik darjah dalam bangunan sekolah yang dilengkapi lapisan BeCool. (Foto: BeCool Indonesia)

Haba dalam rumah juga merupakan masalah yang memberi kesan kepada sebahagian besar wanita di Indonesia, kerana mereka berada di rumah menjaga anak-anak dan juga memasak, katanya.

SUHU TURUN DARI 40 KE 29 DARJAH

Tangerang, sebuah hab perindustrian berhampiran Jakarta di mana terletaknya juga Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, merupakan bandar pertama yang menyertai projek perintis itu. Ia menyediakan kawasan seluas 15,000 meter persegi ruang bumbung bagi projek tersebut, kata Beta, yang merupakan penolong profesor seni bina di Universitas Pendidikan Indonesia (UPI). 

Projek itu telah juga dilaksanakan di bandar-bandar seperti Jambi, Palembang, Semarang dan Pontianak. "Kami cuba menyebarkan produk ini ke bandar-bandar yang bersuhu panas," kata Beta, yang tinggal di Bandung di Jawa Barat.

Selain perubahan iklim, terdapat satu lagi sebab untuk pembentukan haba panas di kawasan bandar. Dikenali sebagai kesan ‘pulau haba bandar’, ia disebabkan oleh ekzos panas dari alat hawa dingin dan kenderaan. Haba juga dikeluarkan oleh bangunan-bangunan yang  menyimpan haba pada siang hari dan melepaskannya pada waktu malam atau kerana sebab-sebab lain.

Imej haba yang ditunjukkan pada telefon bijak. (Foto: BeCool Indonesia)

Sejak memenangi cabaran itu, Cool Roofs Indonesia telah menggunakan teknologinya di bumbung lebih  40 bangunan awam dan komuniti, dengan lebih banyak lagi dalam perancangan. Sejauh ini, projek itu telah menunjukkan beberapa hasil yang dramatik. 

Dalam satu bangunan perindustrian seluas 5,000 meter persegi, suhu dalaman turun daripada 40 darjah Celsius kepada sekitar 29 darjah Celsius.

Di tempat lain seperti sekolah, penurunan suhu mungkin lebih kecil. Perbezaan itu mungkin disebabkan oleh jenis bangunan, bahan dan reka bentuk, kata Beta dan seorang lagi anggota pasukan Cool Roofs Indonesia, Ravi Srinivasan dari Universiti Florida, Amerika Syarikat. 

“Ruang permukaan hampir tiga hingga empat darjah lebih rendah. … Suhu bilik boleh capai satu hingga satu setengah darjah lebih rendah, tetapi itu masih jauh lebih baik,” kata Sandra Eka Febrina, pensyarah seni bina Universitas Indo Global Mandiri, Palembang. 

Malah di Bandung, yang terletak lebih 700 m di atas paras laut dan agak lebih sejuk daripada beberapa bandar lain di Indonesia, penggunaan bumbung sejuk itu menyebabkan perbezaan nyata.

Di pejabat Aaksen Responsible Aarchitecture, rakan kongsi pengurusan Azzahra Dartaman berkata salutan penyejuk itu mengurangkan suhu dalaman daripada sekitar 32 darjah Celsius kepada 25 hingga 27 darjah Celsius.

"Faedahnya ialah kami tidak menggunakan alat hawa dingin," katanya kepada program CNA, Money Mind.  

TONTON: Huraian teknologi dan kos rendah untuk mewujudkan sekitaran udara nyaman di Indonesia.

Aaksen tidak mengira jumlah simpanan hasil penjimatan bil elektrik kerana penggunaan kaedah tersebut. Tetapi dia berkata terdapat penjimatan kerana mereka kurang kerap menggunakan kipas angin. Ia hanya digunakan pada waktu "tengah hari" sahaja, bukannya "hampir sepanjang masa" sebelum ini.

KAITAN DENGAN AMERIKA

Produk CoolRoofs yang berasaskan air itu mudah digunakan, kata Beta. Ia terdiri daripada cat primer, atau lapisan dasar, yang kering dalam masa 30 minit dan cat pelapis yang boleh memantulkan 84 peratus tenaga suria dan memancarkan 90 peratus haba yang diserap.

Selepas waktu tertentu, paras itu masing-masing turun kepada 77 peratus dan 88 peratus. 

Produk itu berdasarkan versi cat serupa yang dipatenkan di Amerika Syarikat oleh Universiti Florida dan dua syarikat, Milenium Solutions USA dan WinBuild Inc, kata Srinivasan. Beliau menemui Beta pada 2018 ketika dia berada di Bandung untuk memberikan ucapan mengenai bangunan tanpa menggunakan tenaga.

Dari situ mereka terus berhubung, dan pengalaman beliau dalam projek Jabatan Tenaga AS mengenai cat sejuk di Afrika Selatan berguna untuk menjayakan pelibatan pasukannya dalam pertandingan Million Cool Roofs Challenge.

Walaupun bukan keperluan persaingan, namun cat dasar dan salutan yang dihasilkan secara tempatan sejak 2019 - di kilang milik universiti UPI di mana Beta bertugas. “Pengarah saya (di UPI) memberi saya tanah; Saya tidak pernah menyangka ia adalah sebuah kilang,” kata Beta. 

Beta Paramita menerangkan cat lapisan khas produk BeCool kepada kru filem. (Foto: BeCool Indonesia)

Keputusan untuk menghasilkannya secara tempatan adalah keputusan kolektif, kata Srinivasan, pengarah Makmal UrbSys di Sekolah Pengurusan Pembinaan M E Rinker Sr Universiti Florida.

"Menghasilkannya di AS adalah mahal, dan kemudian ... anda perlu menghantarnya ke Indonesia."

Selain mengurangkan kos, sebab kedua supaya produk itu dihasilkan di Indonesia adalah untuk menyediakan pekerjaan di negara itu. 

Beta teringat bertanyakan kepada Milenium Solutions jika ia mahu rakan kongsi industri di Indonesia untuk menghasilkan cat primer dan salutan. Beliau kemudian diberitahu bahawa firma itu lebih suka bekerjasama dengan universiti untuk potensi penyelidikan.

Kemudahan di UPI boleh menghasilkan 4,000 kilogram cat primer dan salutan setiap hari. Dua lagi kemudahan pengeluaran akan disediakan tahun ini dengan rakan-rakan kongsi universiti di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dan Lampung, Sumatera. 

Beta, yang merupakan pensyarah seni bina, dengan kru filem dan beberapa orang belia. (Foto: BeCool Indonesia)

Projek itu akan mengekhaskan 10 peratus pengeluarannya untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR), yang akan meliputi kira-kira 14,400 meter persegi setiap tahun, kata Beta. Produk itu disediakan percuma untuk bangunan awam seperti sekolah, rumah anak yatim dan institusi keagamaan, katanya.

Bagi pelanggan komersial, produk yang dipasarkan di bawah jenama BeCool, masih lebih murah berbanding jenama lain di pasaran, tambahnya. “Kami hanya mahu produk itu (diguna pakai secara meluas) di Indonesia dan … pada harga yang berpatutan.”

Satu set 20 kg cat primer dan 20 kg salutan berharga 2.73 juta rupiah (RM850), yang boleh meliputi kawasan seluas 120 hingga 160 meter persegi, bergantung kepada daya serap bahan bumbung.

Beta menganggarkan unit perumahan kos rendah di Indonesia (pada purata 36 meter persegi, dengan bumbung tanah liat) memerlukan 13 kg cat primer dan salutan setiap satu. 

Dengan hadiah wang AS$750,000 yang akan diagihkan dalam lima peringkat dalam tempoh tiga tahun, rancangan mereka juga untuk menubuhkan makmal kebangsaan bagi mengkaji ciri-ciri bahan binaan, seperti berapa banyak haba yang dipantulkan dan diserap, katanya.

PEREDARAN UDARA, REKA BENTUK BANGUNAN PENTING

Sejak video rancangan CNA Money Mind muncul di YouTube, lebih ramai orang dikatakan mengunjungi laman web BeCool dan membuat pertanyaan kepada pihak pengeluar produk yang merupakan syarikat berdaftar di bawah UPI. 

Pembelian produk itu di Indonesia biasanya dibuat melalui WhatsApp, dan syarikat itu juga menerima permintaan untuk mengedarkannya ke luar negara. Ia sedang meneliti kemungkinan tersebut. 

Walaupun cat salutan BeCool telah diterima dengan baik, Beta juga  mendapat maklum balas yang kurang positif daripada para wartawan yang mengatakan suhu dalam rumah tidak turun sebanyak yang diingini.

Beta menyatakan bumbung yang sejuk mungkin bukan cara yang pasti untuk mengurangkan suhu dalaman dengan ketara. Faktor lain turut memainkan peranan, seperti reka bentuk bangunan, orientasi dan kualiti peredaran udara.

Alat digital Anemometer mengukur kelajuan angin, termasuk di dalam rumah, dan juga mencatatkan bacaan suhu dan kelembapan. (Foto: BeCool Indonesia)

"Setiap rumah mempunyai masalah yang berbeza," katanya. "Sesetengah bangunan tidak direka bentuk dengan baik."

Beta teringat mengunjungi sebuah  pejabat arkitek di mana suhu dalamannya turun "hanya" 2 darjah Celsius walaupun di permukaan luar suhu turun sebanyak 15 darjah Celsius. Masalahnya, kata beliau, adalah kurangnya peredaran udara. 
“Saya kata letakkan kipas ekzos di kawasan barat dan timur. Selepas itu, selesai semua masalah. Mereka (tidak) lagi perlu (memasang) alat hawa dingin.”

Beta, yang telah mengkaji kesan ‘pulau haba bandar’, berkata walaupun projek itu adalah platform untuk pendidikan dan objektif utama bumbung sejuk adalah untuk mengurangkan pemanasan global, mesej itu lebih mudah disampaikan kepada orang ramai menerusi manfaat ekonomi kepada mereka. 

Beliau mungkin menjelaskan kepada umum dengan berkata: "Apabila anda menggunakan salutan bumbung yang sejuk, anda akan mengurangkan penggunaan kipas".  Atau: "Anda boleh menetapkan suhu alat hawa dingin anda pada 25 darjah Celsius dan bukannya 18 darjah. Ini bermakna anda sudah dapat mengurangkan bil elektrik anda".

Negara lain yang telah mencuba cat sejuk termasuk Singapura. Pada 2021, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Majlis Bandaran Tampines mengumumkan projek perintis berskala besar melibatkan kira-kira 130 blok perumahan awam, dengan tujuan mengurangkan suhu persekitaran sehingga 2 darjah Celsius.

Projek itu, termasuk tahap kajian semula, dijangka siap menjelang tahun depan.

Kedua-dua negara maju dan membangun serta masyarakat berpendapatan tinggi dan juga rendah boleh menggunakan bumbung sejuk, kata Srinivasan. Namun, teknologi tersebut dapat memberi manfaat yang lebih kepada kumpulan berpendapatan rendah.

"Di Amerika Syarikat, terdapat sebahagian masyarakat yang membelanjakan kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada pendapatan mereka untuk membayar bil elektrik," kata Srinivasan. Tetapi teknologi ini, mereka boleh menjimatkan wang untuk bil elektrik dan membeli alat hawa dingin atau kipas angin. Penjimatan itu boleh mereka gunakan untuk membeli makanan, kata Srinivasan lagi. 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai sejauh mana bahan pengganti seperti stevia dan sakarin lebih baik daripada gula. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement