'Rugi RM10,000': Projek tebatan banjir tertangguh, mangsa merungut kerugian
Proses tender untuk beberapa projek tebatan banjir kerajaan pusat menghadapi jalan buntu sejak beberapa bulan lalu. Dengan perubahan iklim yang menyebabkan lebih banyak hujan, terdapat gesaan agar kerajaan meletakkan keutamaan pada usaha mencegah banjir.

JOHOR BAHRU: Encik Yakob Karimun mengeluh kuat ketika dia cuba menanggalkan kepingan lumpur tebal dari basikal beroda tiga milik cucunya dengan menggunakan hos tekanan tinggi.
Di sekeliling halaman rumahnya terdapat barang-barang rumah - kasut, pakaian, kotak, makanan, perabot - semuanya sudah diselaputi warna coklat. Kawasan sekitar rumah pula berbau lembap.
Banjir kilat yang melanda Kampung Mohd Amin di Johor Bahru pada 6 Dis menyebabkan lima sekeluarga terpaksa berpindah dari rumah mereka selama beberapa jam, ketika air naik ke paras dada. Mereka mencari perlindungan di rumah jiran di kawasan yang lebih tinggi, tetapi kerosakan sudah pun menimpa pada harta benda mereka.
“Hanya kerana malam tadi sahaja, saya rasa kami kerugian lebih RM10,000. Sebuah kereta rosak, peti air sejuk juga tidak lagi boleh dipakai,” keluh Encik Yakob.

“Banjir ini terus berlaku. Ini adalah kali keenam tahun ini kami terpaksa berpindah, tahun lepas 13 kali,” tambah Encik Yakob, 59.
Kejiranan mereka, 10 minit dari pusat bandar, terletak di tanah rendah dan terdedah kepada banjir kilat apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang besar di pantai, yang menyebabkan air Sungai Chat yang berdekatan melimpah keluar.
Apabila kerajaan persekutuan mengumumkan akan mempercepat langkah tebatan banjir pada Mac, Kampung Mohd Amin adalah antara yang dikenal pasti sebagai zon mudah banjir. Ia telah dijanjikan dengan sebuah pam saliran untuk mengawal banjir.
Bagaimanapun, menurut penduduk kampung, belum ada apa-apa yang dilakukan dan banjir yang melanda kawasan kejiranan minggu lepas adalah "paling teruk yang pernah kami lihat".

"Mereka berjanji akan membantu kami, kami dapat melihat kesan perubahan iklim, hujan yang lebih lebat dan banjir," kata Encik Yakob.
“Tetapi usaha untuk mengawal banjir ini agak perlahan. Malah kami tidak nampak apa-apa pun yang sudah dipasang,” tambahnya.
Malah, hanya pada 12 Dis barulah pihak kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa sebuah takungan mini dan benteng akan dipasang di sekitar kampung itu mulai awal 2024.
Situasi di Kampung Mohd Amin mungkin mencerminkan isu yang dihadapi di zon mudah banjir di banyak bahagian negara, di tengah-tengah adanya laporan mengenai kelewatan projek dan projek terbengkalai di beberapa kawasan.
Mangsa banjir dan pakar alam sekitar yang diwawancara CNA berkata kerajaan Malaysia mesti menyegerakan pembinaan dan pelaksanaan projek-projek tebatan banjir di seluruh negara untuk meminimumkan kesan ke atas kehilangan nyawa dan mata pencarian.
Penyelidik Kemampanan Alam Sekitar dan Keselamatan Air Zulfaqar Sa’adi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberitahu CNA bahawa adalah penting sekali untuk melaksanakan projek-projek tebatan air, terutama memandangkan hujan yang lebih teruk dijangkakan akibat kesan perubahan iklim dalam jangka pendek.
“Di Johor sahaja, sebagai contoh, jumlah purata hujan dijangka meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Dr Zulfaqar.
“Kerajaan perlu bergerak pantas, meluluskan tender dengan cepat, dan membina kolam tadahan, empangan, benteng (serta) sistem amaran. Perlu segera atau hadapi risiko kehilangan nyawa dan mata pencarian,” tambahnya.
KELENGAHAN MENJEJAS KEHIDUPAN
Walaupun kerajaan telah mengenal pasti keperluan untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir ini, ia ternyata menghadapi halangan akibat proses tender semula serta tekanan kewangan.
Pada penghujung 2021, Malaysia mengalami banjir terburuk yang pernah dialaminya apabila puluhan ribu penduduk di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan kehilangan tempat tinggal, sementara ratusan pula terkorban.
Kerajaan - ketika itu diketuai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob - mengumumkan dalam pembentangan bajet 2023 pelaksanaan rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM15 bilion, sebagai sebahagian daripada strategi untuk menyediakan negara menghadapi kesan perubahan iklim sehingga 2030.
Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baharu, projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion telah dibatalkan.
Encik Anwar kemudian berkata bahawa projek-projek itu telah diberikan secara rundingan terus, dan kerajaan menjangka dapat menjimatkan RM3 bilion dengan membuat tender semula.
Memandangkan banyak kawasan di Johor, termasuk Batu Pahat, Muar dan Segamat, turut dilanda banjir pada suku pertama 2023, menjejas ribuan penduduk, Encik Anwar, yang juga menteri kewangan, berjanji bahawa projek mitigasi, khususnya di Johor, akan dipercepatkan.
Bagaimanapun, sehingga pertengahan Disember, pembinaan bagi kebanyakan projek ini masih belum dimulakan, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, semasa berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Selagi projek tebatan banjir tidak dilakukan, saya berharap sedikit sebanyak bantuan kewangan dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir,” kata Encik Onn Hafiz.
“Saya agak keliru apabila menerima laporan baru-baru ini bahawa kerja pembinaan fizikal untuk RTB di kawasan seperti Batu Pahat, Kota Tinggi, Segamat dan Kluang yang bernilai RM1.6 bilion masih belum bermula dan hanya dijadualkan siap menjelang 2030,” katanya lagi.
Beliau menambah beliau telah merayu kepada kerajaan persekutuan agar projek-projek itu dapat disiapkan "tiga tahun lebih awal daripada yang ditetapkan".

Encik Rahmat Muhammad, yang tinggal di Kampung Sungai Laya dekat Kota Tinggi, memberitahu CNA bahawa kelewatan dalam usaha tebatan banjir di sepanjang Sungai Johor telah terbukti merugikan penduduk tempatan.
“Mereka mengumumkan awal tahun ini bahawa mereka akan membina empangan di hulu sungai, supaya paras air dapat dikawal. Tetapi kami tidak melihat atau mendengar apa-apa mengenai perkara ini,” kata penduduk berusia 71 tahun itu.
"Sementara itu, musim tengkujuh tahun ini telah memusnahkan rumah, dengan ada penduduk di kampung itu terpaksa dimasukkan ke hospital," katanya.
Menurut Dr Zulfaqar dari UTM, kerajaan bercadang untuk membina benteng di luar pantai Batu Pahat, bagi mengelakkan limpahan air yang menyebabkan banjir di kawasan itu.
Beliau berkata projek itu masih belum dimulakan.
Isu projek yang tidak siap tidak sahaja menjejas Johor. Menurut media tempatan projek RTB di Sungai Rambai, Melaka juga tergendala.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu Hasan Rahman dipetik sebagai berkata, projek yang sudah 40 peratus siap itu terbengkalai sejak 2017. Limpahan air sungai menjadi punca banjir di 13 kawasan sejak itu, tambahnya.
Banjir besar di Malaysia sejak 20 tahun lalu
Banjir di Johor 2006: Lebih 100,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan kerana seluruh bandar Kota Tinggi dan kawasan perumahan berdekatan ditenggelami air selama hampir dua minggu.
Banjir di Kelantan 2014: Banjir terbesar yang direkodkan dalam sejarah negeri timur laut itu. Ia dianggap sebagai bencana "seperti tsunami" dengan lebih 200,000 mangsa kehilangan tempat tinggal dan digelar Bah Kuning (kerana airnya berwarna kuning) kerana kandungan lumpurnya yang tinggi.
Taufan Damrey 2017 melanda Pulau Pinang, Kedah: Taufan dari Lautan Hindi mendarat dan melanda Pulau Pinang dan beberapa bahagian di Kedah. Tiga orang mati dan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Banjir di Semenanjung Malaysia 2021:
Hujan berisipadu tinggi yang digelar hujan "sekali dalam 100 tahun" menyebabkan 125,000 penduduk di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Terengganu kehilangan tempat tinggal. Lebih 50 orang terbunuh.
Banjir di Batu Pahat 2023: Lebih 50,000 orang di Johor - kebanyakan mereka di daerah Batu Pahat - telah dipindahkan dari rumah mereka kerana hujan lebat menyebabkan paras air tinggi selama berminggu-minggu di beberapa kawasan. Walauapun PM Anwar tidak mengisytiharkannya darurat, beliau menggesa agar program mitigasi disegerakan.
Dr Serina Rahman, pensyarah Jabatan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pakar dalam isu alam sekitar di Malaysia, memberitahu CNA bahawa pelaksanaan projek-projek ini pasti akan mengambil masa.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kelewatan akibat langkah penjimatan kos oleh kerajaan atau dana tidak diperuntukkan dengan betul akan merugikan penduduk, yang kebanyakannya penduduk luar bandar.
“Memanglah bagus wang telah diperuntukkan untuk kerja-kerja mengurangkan banjir. Tetapi proses untuk melaksanakannya di lapangan akan mengambil masa,” kata Dr Serina.
"Tetapi kesan perubahan iklim perlu dikurangkan beberapa tahun lalu, jadi sehingga ia selesai, kita akan terus mengalami bencana ini," tambahnya.
MUNGKIN MENJADI LEBIH BURUK
Sedang kemajuan yang dicapai program tebatan banjir itu berjalan agak perlahan, pakar-pakar alam sekitar memberitahu CNA bahawa kesan perubahan iklim mungkin akan memburukkan lagi masalah.
Dr Zulfaqar dari UTM berkata oleh kerana topografi Malaysia, ia terdedah kepada banjir pantai dan banjir kilat, yang kedua-duanya meningkat dalam kekerapan dan intensiti akibat pemanasan global.
Jelasnya, pencairan glasier dan kepingan ais akan menyebabkan paras laut meningkat, menambahkan isipadu air laut dan berkemungkinan memberi kesan kepada kawasan pantai di seluruh Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Selain itu, banjir kilat juga akan menjadi lebih kerap apabila suhu yang lebih panas meningkat, mengakibatkan lebih banyak lembapan ke dalam atmosfera yang kemudiannya dilepaskan sebagai hujan.
Dr Zulfaqar menganggarkan berdasarkan laporan unjuran perubahan iklim mengenai Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, terdapat kemungkinan 20 peratus lebih lagi banjir akan berlaku dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau telah membangkitkan perkara yang sama semasa pembentangannya mengenai senario perubahan iklim dan keselamatan air semasa di Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 di Johor Bahru pada November.
Dr Zulfaqar juga memberitahu CNA bahawa berdasarkan penyelidikan dan pengumpulan datanya, Semenanjung Malaysia secara khusus telah menyaksikan peningkatan jumlah hujan antara November dan Januari setiap tahun.
“Ini bermakna kesan monsun timur laut tahunan akan menjadi lebih teruk pada tahun-tahun akan datang. Jangkakan lebih banyak hujan dan jika usaha tebatan tidak dipertingkatkan, banjir yang lebih teruk akan berlaku,” katanya.
Bagi sesetengah penduduk, peningkatan kekerapan hujan sejak beberapa tahun kebelakangan ini jelas dirasai.
Nelayan Sharuddin Hatman, yang tinggal di tebing Sungai Johor di Kampung Sungai Telor dekat Kota Tinggi, memberitahu CNA kampungnya telah mengalami banjir yang lebih kerap dan lebih kuat sejak lima tahun lalu.
"Ia semakin teruk, dan kami sudah biasa dengan banjir, terutamanya pada akhir tahun, sehingga ia telah menjadi kebiasaan," kata nelayan berusia 31 tahun itu.

Keluarganya, yang terdiri daripada isteri dan tiga anaknya, terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara sejak lima tahun lalu.
“Sebelum 2015, banjir jarang berlaku di sini tetapi sudah pasti ia lebih kerap berlaku sekarang. Terdapat cakap-cakap tentang lebih banyak empangan, sistem perparitan yang lebih baik sedang dibina … tetapi setakat ini, ini semua hanya cakap-cakap. Kami tidak melihat apa-apa yang sedang dibina,” tambahnya.
BANTUAN NEGERI BELANDA
Dalam usaha untuk melaksanakan program tebatan banjir yang menjimatkan kos, PM Anwar berkata pada November bahawa Malaysia sedang menimbangkan langkah membawa pakar-pakar dari Belanda untuk mengukuhkan idea-idea program RTBnya.
Encik Anwar berkata bahawa bantuan pakar dari Belanda boleh "mengurangkan perbelanjaan pengurusan banjir Malaysia, yang mencecah berbilion ringgit setiap tahun".
Walaupun Encik Anwar tidak menyatakan apakah bidang RTB yang beliau ingin pelajari daripada Belanda, pakar- pakar yang diwawancara CNA memuji langkah itu kerana Belanda terkenal di dunia dengan langkah pengurusan banjir yang berkesan.

Dr Zulfaqar dari UTM berkata perkara utama yang boleh dipelajari oleh Malaysia daripada Belanda ialah bagaimana negara itu mengintegrasikan kawasan perairannya ke dalam sistem saliran di bandar dan kaasan luar bandarnya.
“Masih ada banjir di Belanda, ia adalah negara rendah jadi tidak dapat tidak paras air boleh naik lagi tetapi entah bagaimana dalam kebanyakan masa mereka berjaya memastikan orang menjadi mangsa. Tiada kehilangan nyawa, tiada sesiapa yang berpindah dari rumah mereka,” katanya.
“Seperti Belanda, Kita mesti mempertimbang untuk menyepadukan kolam-kolam kecil, kawasan takungan, dan tadahan air bawah tanah. Ini akan mengurangkan kesan hujan lebat,” tambahnya, memetik bagaimana sistem empangan dan saliran air bersepadu Belanda - digelar Zuiderzee Works - adalah sesuatu yang boleh digunakan oleh Malaysia di kawasan-kawasan tertentu.

Dr Serina dari NUS menyuarakan sentimen yang sama, sambil berkata ia adalah langkah positif bahawa kerajaan bersedia untuk membawa pakar asing yang telah berjaya. Namun beliau memberi amaran bahawa usaha mitigasi hanya akan berkesan jika ia dilakukan berserta pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada penduduk.
“Belanda berada di barisan hadapan dalam kaedah dan teknologi melindunginya dari laut memandangkan betapa rendahnya tanah mereka. Adalah suatu yang baik untuk belajar daripada para pakar, di mana sahaja mereka berada,” kata Dr Serina.
“Tetapi di lapangan, kita juga perlu mempunyai sikap yang lebih baik dalam soal membuang sampah (kerana ini boleh menyebabkan longkang air hujan tersumbat), penyelenggaraan yang lebih baik kemudahan sedia ada dalam menghalang banjir, kurangkan rasuah yang membolehkan pembangunan dibuat di kawasan yang telah ditandakan sebagai kawasan tadahan air.
“Perlu juga dikurangkan kegiatan menebang hutan yang menambahkan tekanan ke atas kawasan tanah apabila terdapat hujan lebat. Ini kerana ia boleh membawa kepada kejadian tanah runtuh sarat bahan serpihan yang boleh mengakibatkan kematian,” tambahnya.
Bagaimanapun, bagi penduduk seperti Encik Yakob yang tinggal di kawasan banjir Kampung Mohd Amin di Johor Bahru, mereka inginkan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan segera dengan impak ketara dapat mengurangkan kehilangan mata pencarian.
"Kita mengharapkan penambahbaikan pada bulan-bulan akan datang, dan semoga tiada banjir tahun depan," katanya.
"Saya akan berpindah jika boleh tetapi ini telah menjadi rumah kami sejak sekian lama. Saya tidak dapat bayangkan kita akan tinggal di tempat lain, tidak kira banjir atau pun tidak.”
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.