Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

Tertarik dengan bahaya: Mengapa semakin ramai yang gemar dengan percutian berisiko 

Industri percutian pengembaraan global semakin meningkat, dengan beberapa pengendali yang menguruskan pelancongan sedemikian melihat kenaikan permintaan sebanyak lebih 50 peratus. CNA meninjau sebab-sebab mengapa sesetengah orang tertarik dengan percutian yang boleh menyebabkan risiko kecederaan atau kematian.

Tertarik dengan bahaya: Mengapa semakin ramai yang gemar dengan percutian berisiko 
Encik Paul Chow (kanan) dan rakan-rakannya beberapa ratus meter sebelum ke puncak Friendship Peak di Manali, India. (Foto: Paul Chow)

SINGAPURA: Terjatuh sehingga menimpa batu-batu,  mengalami luka-luka dan lebam, malah juga sesat jalan. Inilah sebahagian pengalaman yang pernah dilalui oleh Paul Chow, 24, dan seorang rakan ketika mendaki ke puncak sebuah gunung di Manali, India. 

Walaupun rupa buminya pada mulanya kelihatan tidak terlalu mencabar, mutu batu-batu gunung adalah kurang baik dan mudah longgar apabila Paul dan rakan mendaki semakin tinggi. 

“Kami tahu bahawa rupa buminya semakin tidak terkawal. Jadi, kami menyedari bahawa pendakian kami adalah di luar tahap kemahiran kami. Lantas kami memutuskan bahawa adalah lebih baik jika kami berpatah balik sahaja," kata Encik Chow, pelajar tahun akhir perakaunan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ketika berpatah balik, Encik Chow dan rakannya mendapati bahawa mereka tersesat jalan dan tersasar dari laluan pendakian awal mereka. “Kami agak bimbang kerana kami bersendirian dan tiada pendaki lain di sekitar,” katanya.

Menceritakan pengalamannya itu, Encik Chow berkata beliau dan rakannya menggunakan mercu-mercu tanda rupa bumi untuk memastikan mereka berada pada lereng yang betul dan menuju ke arah yang betul. Ia adalah pengetahuan yang mereka perolehi sebagai ahli kelab pendaki gunung NUS.

Mujur juga mereka mempunyai kompas dan peta topografi kawasan itu, yang membantu mereka turun semula ke kawasan asal. 

Encik Paul Chow di kaki puncak gunung tidak bernama di Manali, India pada 22 Jun 2022. (Foto: Paul Chow)

Encik Chow telah mendaki gunung selama kira-kira dua tahun sejak menyertai kelab mendaki gunung NUS. Dia telah ke luar negara untuk mendaki gunung sebanyak empat kali, separuh daripadanya dia seorang diri sahaja melakukannya. Ini termasuk ke puncak Friendship Peak, di Manali dan Mont Blanc di Eropah.

Menurut Encik Chow beliau telah menyesuaikan diri dengan baik ketika memulakan pengembaraan ke Friendship Peak. Tetapi seminggu sebelum itu,dia mengalami loya, dehidrasi dan muntah - tanda-tanda gejala ringan penyakit ketinggian - ketika mendaki puncak Baden-Powell Scouts Peak di Nepal bersama kelabnya.

“Saya agak takut tetapi saya lebih kecewa kerana terpaksa membatalkan pendakian. Saya memang bimbang terpaksa melepaskan peluang percubaan itu kerana memang telah berlatih untuk melakukannya,” kata Encik Chow, sambil menambah dia hanya perlu berehat semalaman untuk pulih daripada semua simptomnya.

Tetapi penyakit ketinggian boleh membawa maut. Pada Ogos lalu, seorang lelaki warga Singapura meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan akibat penyakit ketinggian ketika cuba mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

Pada bulan Mei, seorang lagi pendaki Singapura dilaporkan hilang selepas sampai ke puncak Gunung Everest. Menurut isterinya, dia mengalami edema serebral ketinggian tinggi (HACE) dan "tidak dapat turun".
 
Risiko memang wujud ketika melakukan kegiatan-kegiatan mencabar. Tetapi apakah yang mendorong sesetengah orang terlibat dalam aktiviti sedemikian? 

CNA meninjau sebab-sebab mengapa adanya minat  yang semakin meningkat terhadap percutian atau pelancongan pengembaraan.

RASA PENCAPAIAN, RASA BERMEGAH 

Bagi Encik Chow, mendaki gunung memberikannya rasa pencapaian dan kepuasan diri bahawa beliau berjaya mengamalkan kemahiran yang ada untuk menguasai sesuatu. 

"Saya fikir ada juga satu dua perasaan yang inginkan cabaran mengembara, inginkan adrenalin yang tidak dapat diperoleh dengan melakukan pelancongan biasa," kata pelajar NUS itu.

Perasaan bosan dengan rutin seharian juga boleh menjadi salah satu sebab mengapa ada yang mahu melakukan pengembaraan sedemikian, kata seorang pakar kepada CNA.

“Apa yang menyeronokkan daripada aktiviti mencabar itu ialah ia tidak membosankan. Ia sangat  mengujakan,” kata Profesor Madya Zhang Kuangjie, profesor pemasaran sekolah perniagaan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau menambah bahawa batas ambang kita untuk sesuatu rangsangan mungkin meningkat lebih tinggi dan terus meninngkat, dan apabila kita menyertai sesuatu aktiviti, ada yang cuba untuk mendapatkan lebih banyak (ransangan) daripada kegiatan tersebut. 

Prof Madya Zhang, yang telah membuat penyelidikan mengenai tingkah laku dan psikologi pengguna, juga menekankan bahawa aktiviti ini memberikan mereka yang mengejarnya "hak untuk bermegah". Beliau juga menyamakan kegiatan berisiko sedemikian seperti menonton filem seram atau pengalaman permainan “rumah berhantu”.

“Anda menghadapi sesuatu yang berpotensi menakutkan atau berisiko, tetapi anda berjaya melakukannya. Semasa proses itu, anda memperoleh rasa teruja dan rangsangan," katanya.
 
Pakar psikologi klinikal utama Dr Joel Yang juga berkata bahawa ada juga orang "tertarik dengan unsur berbahaya" sesuatu tingkah laku yang melibatkan risiko dalam dunia media sosial hari ini.

Mengambil bahagian dalam aktiviti berisiko memberikan seseorang rasa kebal dan keberanian yang juga memberi ganjaran dari segi psikologi, tambah Dr Yang, konsultan psikologi Mind what Matters.

“SAYA BOLEH TANGANI RISIKO”

Mereka yang gemarkan atau ketagih pada adrenalin mungkin merasakan perlu untuk melakukan sesuatu yang baharu atau sesuatu yang lebih berisiko tinggi dari masa ke semasa, demi terus terasa terangsang dan bahagia, kata Dr Yang. 

"(Penyelidikan) telah menunjukkan bahawa dari masa ke masa, 'penagih adrenalin' mungkin salah mengira atau mengecilkan risiko sesuatu tingkah laku berisiko," tambahnya.

Prof Madya Zhang menjelaskan bahawa mereka yang terlibat dalam aktiviti berisiko sebenarnya menyedari potensi bahaya sesuatu aktiviti. 

“Orang yang benar-benar terlibat dalam aktiviti seperti itu adalah mereka yang sebenarnya mempunyai rasa yakin dan mereka merasakan bahawa walaupun ia ada potensi berisiko, 'Saya boleh tangani risiko tersebut. Saya rasa saya tidak akan terjebak dalam bahaya seperti itu,” tambahnya.

PERMINTAAN PELANCONGAN KEMBARA MENINGKAT

Industri pelancongan pengembaraan global bernilai AS$292 bilion (RM1,380 billion) pada 2022, menurut laporan Future Market Insights, sebuah organisasi penyelidikan pasaran yang beribu pejabat di Amerika Syarikat.

Di Singapura, banyak pengendali pelancongan tempatan yang pakar dalam pelancongan  pengembaraan juga telah melihat penambahan bilangan pelanggan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ace Adventure Expeditions, sebuah syarikat pengembaraan luar, menyaksikan peningkatan lebih 50 peratus dalam pelanggan yang mengambil bahagian dalam aktiviti mencabar, kata pengasas dan pengarahnya Joanne Soo.
 
Ace Adventure Expeditions mula menganjurkan kegiatan trekking pada tahun 2000, sebelum menjadi agensi pelancongan pada tahun 2013. Destinasi pelancongan popular di kalangan pelanggannya termasuk Nepal, Taiwan dan Mongolia untuk aktiviti seperti trekking hinggalah kepada mendaki gunung.

Menurut syarikat itu, ia melihat lebih 100 pelanggan setahun mendaftar untuk menyertai pelancongan sedemikian. Ia juga mempunyai sekumpulan pelanggan yang kembali menyertai pelancongan yang diadakan seterusnya, kata Cik Soo. Kumpulan umur pelanggan terdiri daripada pertengahan 30-an hingga lewat 60-an, walaupun syarikat itu juga telah melihat lebih ramai pengembara yang lebih muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tambah Cik Soo.

Begitu juga, SGTREK mencatatkan peningkatan 25 hingga 30 peratus dalam bilangan peserta untuk aktiviti trekking di luar negara, berbanding tahun lepas.

Diasaskan pada 2013, syarikat pelancongan kegiatan luar itu menganjurkan kegiatan trekking dan  mendaki serta ekspedisi pendakian gunung.

Pada masa ini, tempat-tempat yang semakin popular dengan pengembara SGTREK adalah Gunung Kinabalu di Malaysia, trek kem pangkalan Gunung Everest di Nepal, Tasik Besar Kashmir di India, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Bromo di Indonesia, kata pengarahnya Vijay Kumar.

Gunung Kinabalu di Malaysia diambil pada 5 Sep 2023. (Foto: Facebook/Gunung Kinabalu)

Sesetengah pelanggan yang berkunjung ke kem asas Everest berbuat demikian semata-mata untuk kepuasan diri sendiri, manakala mereka yang terlibat kegiatan trekking di wilayah Kashmir lebih kerana mahu menerokai kawasan yang belum disentuh, kata Encik Vijay.

Beliau menambah bahawa platformnya mempunyai kira-kira 980 pelanggan tahun lepas, di mana 90 peratus daripadanya mendaftar untuk perjalanan trekking ke luar negara.

Trend yang semakin meningkat bagi mereka yang mencari pengalaman pengembaraan mencerminkan minat bertambah untuk menerokai destinasi unik, dengan kegiatan mendebarkan, kata pengasas bersama Perunding Pengembaraan X-Trekkers, Lik Wong.

Pelancongan pengembaraan menawarkan pelanggan peluang terlepas daripada sesuatu yang rutin, peluang untuk mencabar diri sendiri serta peluang untuk berhubung dengan alam semula jadi, kata Encik Wong.

"Pengembara sering inginkan pertumbuhan peribadi, rasa mencapai sesautu, serta kenangan yang tidak dapat dilupakan yang datang daripada kesediaan mereka keluar daripada batas sempadan masing-masing,” tambahnya.

SEBAB PERMINTAAN MENINGKAT 

Peningkatan baru-baru ini dalam pelanggan yang memilih pelancongan pengembaraan boleh dikaitkan dengan pandemik COVID-19, menurut beberapa pakar pelancongan.

Pandemik itu telah menyebabkan kebanyakan orang terkurung di rumah mereka terlalu lama – atau apa yang disebut sebagai ‘demam kabin’, kata Profesor Madya Lau Kong Cheen dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

“Ia membuatkan mereka kehilangan kebebasan yang diinginkan. Ia mencetuskan keinginan semula jadi dalam diri kita untuk meneroka dan mempelajari semula," kata Prof Madya Lau, yang merupakan sebahagian daripada program pemasaran universiti.

Beliau menambah bahawa peluang untuk menyertai pelancongan yang berasaskan pengembaraan, boleh memberikan sesetengah orang kebebasan daripada kehidupan tidak aktif. 

Dr Michael Chiam, pensyarah kanan pelancongan di Politeknik Ngee Ann, juga menegaskan bahawa ramai orang mula meneroka sukan-sukan berbeza semasa wabak, apabila sekatan dan sekatan perjalanan dikuatkuasakan. 

Sebahagian daripada mereka mengembangkan minat yang lebih mendalam dalam sukan-sukan tersebut,  dan mereka mahu meregangkan lagi diri, dan mencabar diri dengan menyertai pelancongan pengembaraan, tambah Dr Chiam.

Peningkatan permintaan untuk lawatan pengembaraan juga merupakan sebahagian daripada peningkatan keseluruhan permintaan pelancongan, selepas gangguan perjalanan akibat pandemik pada 2020 dan 2021, kata Encik Benjamin Cassim dari Politeknik Temasek.
 
Bagaimanakah industri pelancongan boleh bersaing dengan permintaan yang semakin meningkat ini? Antaranya adalah dengan agensi pelancongan perlu mengupah dan melatih kakitangan yang boleh mengetuai lawatan pengembaraan, kata Prof Madya SUSS Lau.

Mereka yang hendak diambil untuk mengetuai pengembaraan, haruslah mereka yang lebih cergas dari segi fizikal, tetapi juga mempunyai kesedaran tentang risiko dan dapat memastikan keselamatan pelancong yang ikut serta, kata Prof Madya Lau.

Panalaban, hentian rehat pendakian Gunung Kinabalu di Sabah, Malaysia. (Foto: Facebook/Gunung Kinabalu)

BAGAIMANA MEMASTIKAN KESELAMATAN

Ketiga-tiga pengendali pelancongan memberitahu CNA bahawa mereka mempunyai protokol keselamatan dalam mengurangkan risiko aktiviti-aktiviti mencabar, yang bermula dengan taklimat dan latihan pra-perjalanan.

Cik Joanne Soo dari Ace Adventure Expeditions berkata bahawa pelanggan dinasihatkan untuk melibatkan diri dalam latihan khas untuk menyiap-siagakan mereka untuk kegiatan trekking dan pendakian. Latihan itu turut melibatkan kegiatan membawa beg galas yang muatan semasa mendaki atau turun bukit, dan juga ketika menaiki atau turun dari tangga menegak.
 
Di SGTREK, pasukannya akan menilai beberapa tahap kecergasan peserta dan menasihati mereka tentang latihan yang diperlukan untuk setiap kegiatan trekking, kata pengarahnya Vijay Kumar.

Pasukan itu menjalankan latihan percuma secara tetap untuk semua peserta yang menyertai perjalanan pengembaraan yang akan datang, kata Encik Vijay.

Semasa sesi taklimat pra-perjalanan, para peserta juga akan menyediakan peralatan yang diperlukan, pengetahuan tentang trekking yang akan mereka sertai, dan latihan yang diperlukan.

“Sepanjang pengembaraan, kami memantau keadaan fizikal setiap orang (dan) keadaan kesihatan mereka setiap hari dan menasihati mereka mengenai langkah seterusnya. "Jika seseorang berasa tersangat sakit, kami memindahkan mereka ke tempat yang selamat dahulu," kata Encik Vijay.

Kedua-dua syarikat X-Trekkers Adventure Consultant dan Ace Adventure Expeditions berkata mereka memantau keadaan cuaca dengan teliti.
 
Encik Lik Wong dari X-Trekkers menekankan bahawa komunikasi tetap antara pelanggan dan jurupandu  pengembaraan berpengalaman serta penilaian berterusan kesihatan peserta, membantu dalam menjadikan "pengembaraan yang selamat dan menyeronokkan" untuk pelanggan.

Beliau menambah bahawa jurupandu terlatih dalam bidang bantuan kecemasan di hutan belantara dan "amat arif " dengan rupa bumi kawasan yang dikunjungi. Encik Wong juga berkata bahawa beliau mempunyai pengalaman mendaki pada altitud tinggi dan tahu cara mengesan gejala penyakit altitud tinggi yang akut.

Sekiranya pelanggan mengalami kemalangan semasa dalam perjalanan, X-Trekkers mempunyai "pelan tindak balas kecemasan yang komprehensif, kata Encik Wong.

“Jurupandu kami dilatih untuk memberikan bantuan perubatan segera dan memulakan prosedur pemindahan jika perlu. “Kami mengekalkan komunikasi dengan pihak berkuasa tempatan dan mempunyai akses kepada kemudahan perubatan,” katanya.

Begitu juga, Encik Vijay dari SGTREK berkata mereka mempunyai protokol standard untuk kecemasan untuk semua pengembaraan mereka, dan pemandu tempatan serta ketua pengembaraan mereka berpengalaman dalam menangani situasi sedemikian.
 
Bagi Ace Adventure Expeditions, ia akan memastikan para pelanggannya membeli insurans perjalanan yang meliputi aktiviti trekking, kata Cik Soo.

Bagi pendakian melibatkan ketinggian yang lebih tinggi, syarikatnya akan menasihati pelanggan supaya  membeli pakej menyelamat yang diperlukan seperti yang ditawarkan oleh agensi yang pakar dalam mengendalikan penyelamatan dan pemindahan kecemasan, kata Cik Soo. Beliau menambah bahawa ini akan membantu melindungi para pelanggan  daripada mengalami "kerugian kewangan yang besar". 

Gunung Bromo di Indonesia. (Foto: Unsplash/Adrian Hartanto)

INSURANS AKTIVITI KEMBARA 

Pakar pelancongan yang ditemui CNA turut menekankan pentingnya para pelancong pengembaraan membeli insurans perjalanan untuk aktiviti mencabar.

Prof Madya Lau dari SUSS menegaskan bahawa agensi pelancongan harus berpengetahuan tentang perlindungan insurans yang sesuai yang diperlukan pelanggan sebelum mereka menyertai sebarang perjalanan pengembaraan yang ekstrem. 

Pada masa ini, terdapat beberapa syarikat insurans yang menawarkan perlindungan untuk aktiviti mencabar di bawah pakej insurans perjalanan masing-masing, kata Prof Madya Lau, dengan  memetik DirectAsia Insurance sebagai contoh.

DirectAsia menawarkan perlindungan tambahan untuk sukan dan aktiviti lasak sebagai faedah pilihan yang hanya disediakan dalam polisi tahunannya.

Mereka yang memilih perlindungan tambahan akan dilindungi sehingga had yang disenaraikan di bawah pelan insurans perjalanan untuk aktiviti seperti sukan musim sejuk, sukan air, sukan udara dan sukan darat.

Di bawah polisi ini, ketinggian maksimum untuk sebarang sukan atau aktiviti lasak yang akan diberi perlindungan insurans adalah 4,000m. Sebarang insiden atau kecederaan yang dialami melebihi ketinggian maksimum itu tidak akan dilindungi, menurut DirectAsia Insurance.

Bagi FWD Singapore, pendekatan menyeluruh adalah untuk menyediakan perlindungan bagi senarai aktiviti riadah yang luas yang dianggap lebih berisiko, kata ketua pegawai eksekutif Adrian Vincent.

"Untuk aktiviti yang lebih berbahaya, seperti terjun udara yang dikendalikan di bawah syarikat berlesen, pertimbangan yang dibuat adalah pada faktor pengurangan risiko di mana kita lihat sama ada  aktiviti itu dikendalikan dengan mengambil langkah berjaga-jaga keselamatan yang diperlukan," kata Encik Vincent.

Insurans perjalanan FWD meliputi aktiviti riadah biasa yang dilakukan oleh pengembara dan ditawarkan oleh pengendali berlesen dan hanya untuk "sukan lasak tertentu" sahaja, katanya.

Ia termasuk sukan paragliding, selam skuba, mendaki gunung, memanjat batu, terjun udara, papan salji dan banyak lagi, selagi orang yang diberikan perlindungan insurans itu terikat pada syarat-syarat tertentu. 

Beberapa syarat ini ialah orang yang diinsuranskan tidak berlatih sebagai seorang profesional, dan jika dia terlibat kegiatan trekking atau pendakian, ia tidak boleh lebih tinggi daripada 3,000m di bawah paras laut.Oleh itu, syarikat itu tidak menyediakan perlindungan untuk para pengembara yang terlibat dalam ekspedisi mendaki Gunung Everest, kata Encik Vincent.

Pemandangan Gunung Everest dari Namche Bajar, daerah Solukhumbu, Nepal, 27 Mei 2019. (Foto fail: AP/Niranjan Shrestha)

Jurucakap Persatuan Insurans Umum Singapura (GIA) berkata bahawa para pelancong "sangat digalakkan" untuk memahami semua terma dan syarat polisi, termasuk soal pengecualian dan faedah-faedah polisi insurans perjalanan yang mereka beli sebelum memulakan perjalanan.

“Ini terutamanya untuk aktiviti berisiko tinggi, yang mungkin dikecualikan daripada polisi insurans perjalanan asas. Bergantung kepada syarikat insurans, perlindungan lanjutan mungkin perlu dibeli untuk menampung aktiviti ini," kata jurucakap itu.
 
Pengembara yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti berisiko tinggi harus menyemak polisi mereka untuk memastikan aktiviti tersebut dilindungi di bawah perbelanjaan perubatan, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya yang kekal, kata jurucakap GIA.

Di samping itu, mereka juga digalakkan untuk membeli polisi yang melindungi liabiliti peribadi berkaitan dengan aktiviti berisiko tinggi sekiranya berlaku sebarang kecederaan atau kerosakan yang disebabkan oleh orang lain. Ini kerana semua keadaan sedemikian boleh menjadi jumlah yang besar, tambah jurucakap itu.

Mereka yang memerlukan perlindungan yang lebih juga boleh membeli insurans kemalangan diri untuk mendapatkan tambahan kepada faedah insurans perjalanan mereka.

Namun, terdapat jurang yang perlu ditangani memandangkan bidang pelancongan pengembaraan "masih agak baru", kata Prof Madya Lau.

Masih terdapat batasan mengenai jenis aktiviti yang boleh dilindungi, katanya.

Ini termasuk jenis keadaan perubatan sedia ada yang menghalang perlindungan, jenis peralatan pengembaraan dan peralatan yang perlu diperakui dan liputan geografi, menurut Prof Madya Lau.

"Sesetengah syarikat insurans bimbang untuk melindungi aktiviti seperti pengesanan altitud tinggi (melebihi ketinggian tertentu) atau perjalanan bebas tanpa ditemani oleh pemandu berpengalaman (dan berlesen)," tambahnya.

“MENJADI GAYA HIDUP”

Bagi pelajar NUS Paul Chow, kegiatan pelancongan kembara sering menimbulkan emosi yang bercampur aduk baginya, iaitu antara rasa ghairah dan gementar kerana adanya bahaya dan risikonya. 

“Semuanya bergantung kepada bagaimana kita mengimbangi antara risiko dengan kemampuan kita untuk menghadapinya. Tapi saya tahu semua pendaki faham risiko tersebut dan perlu putuskan sendiri sama ada mereka boleh berhadapan dengannya,” katanya.

Bagi pelajar berusia 24 tahun itu, dia kini merancang untuk melakukan pengembaraan ke Nepal pada tahun depan, di mana dia dan rakan sepasukan akan cuba mendaki gunung yang belum pernah didaki sebelum ini.

“Hakikat bahawa ia belum pernah didaki sudah cukup menarik sebagai satu penngembaraan. Saya fikir dalam kebanyakan sukan pengembaraan, risiko adalah sebahagian besar daripada ekspedisi … dan kita perlulah tahu menanganinya.” 

Encik Chow, yang kini dalam tahun terakhir di NUS, merancang untuk terus mendaki gunung apabila dia mula bekerja.

"Saya fikir ia telah menjadi satu gaya hidup, dan ia adalah sesuatu yang saya lihat akan saya lakukan untuk sekian masa yang lama.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement