Panel suria atas bumbung, kebun hidroponik: Pendidikan iklim mendapat sambutan di sekolah-sekolah Singapura
Selain projek infrastruktur di kawasan sekolah, para pelajar juga didorong supaya lebih peka terhadap alam sekitar melalui aktiviti harian seperti menghabiskan makanan mereka bagi mengelakkan pembaziran.
SINGAPURA: Sekolah-sekolah di Singapura semakin giat mesra alam dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon, sambil meningkatkan inisiatif dalam mendidik pelajar mengenai isu iklim pada usia yang lebih muda.
Lebih 180 sekolah telah menyertai program SolarNova, yang secara progresif sedang memasang panel kuasa suria di bumbung-bumbung sekolah, demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura pada awal April.
Lebih 40 daripadanya telah selesai memasang panel tersebut setakat ini, dua kali ganda daripada jumlah yang dilaksanakan pada tahun 2021.
Sekolah-sekolah juga akan meneruskan dengan penambahbaikan infrastruktur yang lain, seperti menggunakan lampu LED dan kipas siling arus terus, tambah Kementerian Pendidikan.
Selain projek infrastruktur di kawasan sekolah, pelajar-pelajar juga didorong supaya lebih peka terhadap alam sekitar melalui aktiviti harian seperti menghabiskan makanan mereka bagi mengelakkan pembaziran.
Mereka juga memainkan peranan aktif dalam merancang acara seperti Hari Bumi, yang disambut pada 22 April setiap tahun.
Ini semua selaras dengan rancangan MOE untuk memasukkan kemampanan alam sekitar dalam kurikulum sekolah.
Walaupun kementerian menyediakan sumber terpusat untuk kegunaan sekolah, setiap sekolah boleh menyesuaikan program kemampanan mereka berdasarkan keperluan masing-masing.
MEMANFAATKAN KUASA SOLAR
Sekolah Rendah Edgefield di Punggol mendapat kira-kira 40 peratus tenaganya dari panel solar yang dipasang di bumbungnya.
Selain lampu dan kipas di bilik darjah, panel itu juga membekalkan tenaga ke sebuah kebun hidroponik, yang dikendalikan oleh murid-murid Darjah 3 dan 4.
Guru sains Debbie See berkata: "Pendidikan iklim dan kemampanan jelas sekali telah berubah dengan ketara dalam tempoh beberapa tahun ini di mana situasinya lebih mendesak sekarang, kerana pelajar kami dapat melihat dan merasa sendiri kesan perubahan iklim."
Ini termasuk corak cuaca yang melampau dan peningkatan paras laut, kata See, yang telah mengajar selama 20 tahun.
“Oleh itu, tumpuan yang lebih besar harus diberikan dengan melibatkan pelajar kami tentang kemampanan dan mendorong mereka mengambil peranan yang lebih aktif dalam penjagaan bumi kita. Sebab akhirnya, mereka jugalah penjaga masa depan bumi kita."
Sekolah ini juga mengajar tentang kehidupan lebih mampan melalui tingkah laku harian, seperti mengurangkan pembaziran dengan menghabiskan makanan.
Pelajar yang berbuat demikian akan diberi ganjaran dengan setem, yang boleh digunakan untuk menebus pelekat dan pin.
Murid Sekolah Rendah Edgefield Dash Chiang, yang kini di Darjah 5, berkata: "Saya ingin belajar bagaimana mencipta sesuatu yang dapat membantu membersihkan air, tetapi bukan hanya menggunakan sistem penapisan. Ia mestilah sesuatu yang lebih rumit, sesuatu yang lebih cekap dan berkesan."
MENGATASI PEMBAZIRAN MAKANAN
Tahun ini, selain daripada mengajar pelajar sekolah rendah mengenai pemanasan global dan isu alam sekitar seperti pencemaran dan penebangan hutan melalui pelajaran sains, MOE juga memberi penekanan khusus pada kemampanan makanan.
Di Sekolah Menengah Bukit Batok, sisa makanan akan dikumpulkan daripada penjual kantin dan diletakkan dalam mesin penghadam makanan, yang akan mengubahnya menjadi kompos dan nutrien untuk kegunaan kebun sekolah.
Guru geografi Anita Chandrasagaran, yang telah mengajar selama lima tahun, mengatakan bahawa para pelajar telah memberi sambutan yang “cukup baik” kepada inisiatif tersebut.
"Saya rasa mereka kini mempunyai peningkatkan kesedaran mengenai hal-hal alam sekitar, dan juga bagaimana penggunaan sumber daya oleh mereka boleh memberi kesan kepada alam sekitar. Kami dapat perhatikan bahawa terdapat peningkatan kadar kitar semula di sekolah," katanya.
Sekolah itu juga telah melantik pelajar sebagai Pemimpin Hijau untuk memantau dan merancang aktiviti harian, serta memperingati sambutan-sambutan seperti Hari Bumi.
"Saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang kerjaya masa depan yang melibatkan kemampanan," kata pelajar Menengah 4 Alicia Hua, seorang pemimpin pelajar di Sekolah Menengah Bukit Batok, sambil menambah bahawa peranannya sebagai Pemimpin Hijau telah mencetuskan minatnya untuk bekerja di sektor alam sekitar pada masa akan datang.
Sekolah-sekolah sedang mencari pelbagai cara untuk bekerjasama dengan rakan komuniti dan organisasi alam sekitar, bagi memberi para pelajar lebih banyak peluang meraih pengalaman dalam sektor ini.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai penjelasan pakar menyingkap mitos disebalik khasiat air alkali.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.