Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

Mengapa harga emas semakin tinggi, apakah ia akan terus meningkat? 

Harga emas mencecah paras tertinggi pada awal Disember. Apakah anda harus menimbangkan untuk menjadikan logam berharga itu sebahagian portfolio pelaburan anda? 

Mengapa harga emas semakin tinggi, apakah ia akan terus meningkat? 
Emas didagangkan pada paras tertingginya dalam sejarah melebihi AS$2,100 seauns pada 4 Dis 2023. (Foto: iStock)

SINGAPURA: Pada 4 Dis, harga emas mencecah paras tertinggi sepanjang masa, dengan logam berharga itu didagangkan pada lebih AS$2,100 (RM9,800) seaun.

Ia melepasi harga rekod sebelumnya sebanyak AS$2,075.47 seaun yang diperdagangkan pada Ogos 2020, apabila pandemik COVID-19 mendorong kenaikan permintaan emas. 

Emas telah dilihat sebagai penyimpan nilai sejak ribuan tahun lagi. Dan bagi para pelabur emas hari ini, ia semakin dilihat sebagai wadah yang selamat di tengah-tengah ketidaktentuan dalam pasaran-pasaran pelaburan yang lain.

Jadi apa yang telah mendorong harga emas ke tahapnya yang tinggi baru-baru ini? Dan adakah ia bakal terus berada di tahap tinggi? Untuk mendapatkan jawapannya, CNA telah mendapatkan pandangan pakar-pakar dari tiga bank dan seorang peniaga emas jongkong. 

Apakah yang mempengaruhi harga emas?

Dalam menentukan harga emas, pelbagai faktor diambil kira. 

Antaranya, bekalan emas yang ada, turun naik pasaran, keputusan yang dibuat bank-bank pusat dan nilai dolar Amerika Syarikat: Kesemua ini menjejas permintaan untuk emas, dan seterusnya mendorong naik atau turun harga logam itu. 

Ketegangan geopolitik juga mempunyai kesan, begitu juga kebimbangan mengenai inflasi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas peniaga emas jongkong Silver Bullion Gregor Gregersen memberitahu CNA bahawa "kebanyakan keuntungan dalam pelaburan emas kerap berlaku semasa kemelesetan, stagflasi dan krisis. Ini kerana, apabila keyakinan semakin surut, orang ramai beralih kepada emas fizikal sebagai pelaburan yang selamat".

"Kami melihat emas dan perak fizikal sebagai pegangan jangka panjang yang akan berjaya terutamanya semasa krisis dan stagflasi," katanya.

Tonton: Singapore Reserves Revealed memberikan wawasan eksklusif tentang dana kekayaan negara. 

Mengapakah harga emas mencapai paras tertinggi baru-baru ini?

Didorong oleh kenyataan Pengerusi Bank Simpanan Federal Amerika Jerome Powell pada 1 Dis yang mencadangkan bahawa bank pusat AS itu boleh mengurangkan kadar faedah pada awal 2024, mendorong harga emas naik ke  paras tertinggi yang baharu pada 4 Dis.

Kenyataan Encik Powell bahawa dasar kewangan AS "berada dalam ruang yang amat terbatas" meningkatkan keyakinan para pelabur.

Harga logam berharga itu melonjak 3.1 peratus kepada AS$2,135.39 seaun dalam dagangan awal pasaran Asia sebelum jatuh semula, lapor AFP.

Di sebalik kesan daripada kenyataan Encik Powell, pakar-pakar memberitahu CNA bahawa lonjakan harga mungkin disebabkan oleh gabungan beberapa faktor.

Penganalisis pelaburan Ketua Pejabat Pelaburan DBS, Goh Jun Yong berkata, kejatuhan keuntungan bon-bon perbendaharaan, keteguhan dolar AS yang sederhana dan pembelian bank pusat yang berterusan menyumbang kepada harga emas pada 4 Dis.

Beliau juga merujuk kepada peperangan berterusan di Gaza sebagai faktor penyumbang.

"Konflik Israel-Hamas pasti menambah dimensi risiko geopolitik dalam pertimbangan pelaburan; sebagai aset yang selamat, emas biasanya berfungsi dengan baik semasa konflik dan pergolakan," kata Encik Goh.

Bagaimanapun, ketua penasihat kekayaan OCBC Aaron Chwee berkata ketegangan di Timur Tengah memberi kesan kepada harga "pada tahap yang lebih rendah" berbanding dengan faktor-faktor pemboleh-ubah yang lain.

Beliau sebaliknya mengaitkan kenaikan harga itu dengan   permintaan kukuh daripada bank-bank pusat Asia, seperti India dan China.

Dua pembeli emas terbesar dunia, China dan India menyumbang lebih separuh daripada jumlah permintaan global.

Menurut Majlis Emas Dunia (WGC), bank-bank pusat membeli 800 tan emas dalam sembilan bulan pertama 2023. Ini adalah angka tertinggi untuk tempoh itu mengikut rekod WGC, yang mula mencatatkannya sejak tahun 2000.

"Pembelian kukuh yang dibuat oleh bank-bank pusat ini dijangka berterusan untuk baki 2023 ini," kata WGC dalam satu kenyataan awal tahun ini.

Singapura merupakan pembeli emas ketiga terbesar di dunia di belakang China dan Poland dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, menurut WGC.

Encik Chwee menambah bahawa "kebimbangan yang semakin meningkat tentang kemungkinan berlakunya kemelesetan di AS" juga faktor pendorong lonjakan itu.

Encik Gregersen menekankan serangan peluru berpandu ke atas kapal komersial di Laut Merah sebagai faktor lonjakan harga.

“Sekiranya laluan perkapalan ini tergendala ia akan menjejaskan ekonomi global,” katanya.

Mengapakah harga emas melepasi harga kemuncaknya yang lalu? 

Walaupun harga emas cenderung melambung semasa masa ketidakstabilan, lonjakan awal Disember lalu melepasi paras tertinggi yang dilihat pada peringkat awal pandemik COVID-19 dan apabila Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, rekod tertinggi kali terakhir dibuat pada Ogos 2020, dan apabila Rusia menyerang pada 24 Feb 2022, emas melonjak ke paras tertinggi yang belum pernah dilihat sejak lewat 2020. Ia didagangkan pada lebih AS$1,960 seaun menurut CNBC. 

Harga emas akhirnya melebihi paras AS$2,000 seauns pada awal Mac 2022, menurut data WGC.

Harga kembali naik dari Mac 2023 di tengah-tengah kegawatan dalam sektor perbankan.

Jadi mengapa lonjakan yang berterusan menyebabkan harga emas melebihi paras tersebut?

"Semasa siri kejatuhan beberapa bank awal tahun ini, kadar faedah dan nilai dolar masih meningkat. Ia menjadikan pada asasnya persekitaran yang tidak kondusif untuk emas," kata Encik Goh.

“Begitu juga, ketika meletusnya perang Rusia-Ukraine dan berlakunya COVID-19, kadar faedah adalah jauh lebih rendah berbanding hari ini, dan ini mengehadkan potensi peningkatan daripada sebarang langkah memotong kadar faedah.

"Bagaimanapun, hari ini, dengan kadar asas pada 5.5 peratus, terdapat lebih banyak ruang untuk pemotongan kadar masa depan, yang seterusnya menunjukkan potensi peningkatan harga emas."

Encik Chwee berkata "alasan untuk berpegang pada emas bukan semata-mata untuk keselamatan tetapi ia juga bergantung kepada kadar faedah, iaitu kos peluang untuk pelabur memegang emas".

Beliau juga menegaskan bahawa kadar faedah pada keseluruhannya rendah sepanjang pandemik COVID-19 dan sebahagian waktu daripada perang Rusia-Ukraine. Ia mula bergerak lebih tinggi pada 2022.

"Ini menjadikan emas kurang menarik dibandingkan dengan menyimpan sahaja wang dalam deposit bank dan dengan membeli bon, yang didorong oleh persekitaran kadar faedah yang meningkat," tambah Encik Chwee.

"Bagaimanapun, kita kini berada dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi, dengan adanya kemungkinan kadar faedah yang berkurangan. Ini mengurangkan kos peluang untuk kita memegang emas."

Encik Chwee berkata bahawa kesan kejatuhan bank terhadap harga emas sebenarnya terhad jika dibandingkan dengan persekitaran kadar faedah pada masa itu.

"Bank simpanan federal AS (The Fed) masih memberi isyarat bahawa ia mungkin terus mengekalkan kadar faedah yang tinggi, sekali gus menjadikan emas kurang menarik kerana kos peluang yang tinggi," katanya.

Encik Gregersen berkata paras tertinggi baharu berlaku secara semula jadi dari semasa ke semasa apabila dolar AS menyusut nilai akibat inflasi.

“Sejak 1970, purata kenaikan harga emas ialah 7.8 peratus setahun, sebagai contoh,” katanya.

Apakah harga emas terus di paras tinggi? 

Sejak paras tertinggi 4 Dis, harga emas secara beransur-ansur menurun. Setakat Isnin (11 Dis), ia didagangkan pada harga kurang AS$2,000 setiap auns.

Ke manakah arah harga emas seterusnya? 

Encik Chwee berkata walaupun pasaran menjangkakan bank simpanan federal AS akan mula memotong kadar faedah pada Mac 2024, OCBC tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku sehingga Jun 2024.

"Ini akan menyokong harga emas, walaupun mungkin terdapat sedikit kelemahan jika Fed tidak menurunkan kadar pada Mac 2024 seperti yang dijangkakan pasaran pada masa ini," katanya.

"Kami menjangkakan harga emas kekal tinggi untuk enam bulan akan datang," tambahnya.

Encik Heng Koon How, ketua strategi pasaran di UOB, berkata beliau meramalkan harga emas akan terus meningkat kepada AS$2,200 per auns menjelang suku keempat 2024.

"Ini berdasarkan pandangan teras kami bahawa bank pusat AS akan mula mengurangkan kadar secara beransur-ansur merentasi (separuh kedua 2024) dan dolar AS juga akan lebih mengendur," katanya.

Dalam kita memasuki tahun 2024, di mana akan berlakunya pilihan raya presiden AS dan ketegangan geopolitik yang berterusan, terdapat kemungkinan bahawa lebih ramai orang akan beralih kepada emas, kata Encik Gregersen.

"Kira-kira satu perempat daripada bank-bank pusat juga sudah menyatakan hasrat mereka untuk meningkatkan lagi rizab emas masing-masing pada 2024," tambahnya.

Encik Goh berkata: "Sama ada emas terus mencatat kenaikan atau tidak, bukan bergantung pada haluan yang diambil oleh kadar faedah. Jika inflasi terus menjadi sederhana dan Fed melaksanakan pemotongan kadar tahun depan, maka emas mungkin meningkat dari sini."

"Bagaimanapun, jika terdapat kebangkitan semula dalam inflasi dan Fed terpaksa menaikkan kadar lagi, kami menjangka emas akan menjejaki semula keuntungan yang diperolehinya baru-baru ini," tambah penganalisis DBS itu.

Patutkah pelabur runcit pertimbangkan melabur dalam emas?

Sambil menyifatkan emas sebagai "pempelbagai risiko portfolio yang baik", Encik Heng berkata: "Adalah baik dari sudut kepelbagaian jangka panjang untuk mempunyai pelaburan emas dalam portfolio pelaburan kita.”
 
Encik Gregersen dari Silver Bullion berkata ia adalah masa yang baik untuk membeli logam berharga itu, sambil berkongsi bahawa Silver Bullion menyaksikan peningkatan 300 peratus dalam jumlah jualan emas baru-baru ini.

"Emas fizikal bertindak dalam mengurangkan risiko rakan niaga (yang memungkiri perjanjian pelaburan) dan juga risiko dalam perdagangan mata wang. Pada masa yang sama ia juga akan pasti meningkat nilainya dalam jangka panjang," kata beliau. 

"Ia adalah pilihan yang bagus dalam masa yang tidak menentu."

Sementara itu, Encik Goh dan Encik Chwee, menekankan beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh para pelabur runcit apabila melabur dalam emas. 

Encik Goh berkata "risiko rakan niaga memungkiri perjanjian dan risiko kecairan adalah perkara penting untuk dipertimbangkan apabila melabur dalam emas menerusi dana bersama atau dana dagangan bursa".

Encik Chwee juga berpendapat memiliki kecairan sebagai sesuatu yang perlu dipertimbangkan, sambil berkata emas tertakluk kepada turun naik pasaran dan mungkin tidak boleh ditukar segera kepada tunai. Beliau menambah, tidak seperti wang tunai, emas tidak meraih kenaikan faedah.

Beliau juga berkata para pembeli emas harus juga menimbangkan soal belanja untuk menyimpan emas fizikal, kerana ia boleh menimbulkan kos tambahan. Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa emas fizikal juga boleh dibeli secara digital menerusi bank-bank termasuk dari OCBC.

"Para pembeli runcit juga harus mempertimbangkan ... profil risiko dan kesediaan mereka untuk menanggung risiko, dan perlunya mereka mendapatkan pandangan penasihat kewangan sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam emas," katanya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement