Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Malaysia

'Seperti anak sendiri': Pengusaha kantin sekolah Singapura ini menyantuni para pelajar dengan menu istimewa, harga berpatutan

Seorang pengusaha kantin sekolah di Singapura berkongsi kepada CNA mengapa dia tetap komited untuk menyediakan makanan pada harga berpatutan demi kesejahteraan para pelajar. 

'Seperti anak sendiri': Pengusaha kantin sekolah Singapura ini menyantuni para pelajar dengan menu istimewa, harga berpatutan
Cik Aini memegang sepinggan nasi padang di kantin Sekolah Menengah Beatty. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Cintanya pada memasak bermula beberapa dekad lalu.

Ketika itu, di bawah pengawasan arwah ibunya, Cik Nor Aini Alwi memotong sayur, menggoreng rempah dan memasak.

"Saya mula memasak seawal usia sembilan tahun, dan hidangan pertama yang saya masak ialah sambal goreng yang agak rumit," katanya kepada CNA. "Kemudian, rendang dan kuah lontong."

Dalam soal memasak, menurut Cik Aini, ibunya bukanlah seorang yang mudah berpuas hati dengan cara. Malah, beliau boleh menjadi "sangat garang".

“Saya memasak setiap hari untuk keluarga saya. Saya perlu menyediakan makan tengah hari untuk bapa saya sebelum beliau pergi bekerja, dan kemudian untuk adik-beradik saya,” tambah wanita berusia 68 tahun itu. 

Apabila menjelang hari raya, Cik Aini pasti akan bersengkang mata. 

"Saya diminta untuk (membantu) memasak semua hidangan tersebut sehingga keesokan paginya dan akhirnya saya hanya tertidur selepas itu," katanya sambil ketawa.

Beberapa dekad kemudian, minat ini masih kekal, begitu juga dengan kebanyakan resipinya.

Sepanjang pengalamannya yang lebih dua dekad mengoperasikan kantin sekolah, Cik  Aini bukan saja memasak untuk keluarganya tetapi juga menyediakan makanan kepada ratusan orang setiap hari. 

Dia bermula sebagai seorang penyambut tetamu di sebuah syarikat kereta yang menjual Ferrari dan Lamborghini. Namun, apabila bosnya memutuskan untuk berhijrah, Cik  Aini mengambil keputusan untuk meninggalkan kerja itu juga. Setelah beberapa waktu merasa "bosan" di rumah, dia terjumpa iklan kekosongan kerja sebagai pengendali kantin di Sekolah Menengah Monk's Hill.

“Saya perlu mencari sesuatu yang bermakna. Dan memandangkan saya suka memasak (dan) saya senang melihat orang gembira dengan masakan saya, mengapa tidak mencuba (mengusahakan) kantin?”

Setelah dua dekad, tiga penggabungan sekolah dan kumpulan pelajar juga silih berganti, Cik Aini sudah pun menjadi individu tetap di sekolah itu.

"Kegembiraan dalam pekerjaan ini adalah apabila saya melihat pelajar dan guru menjamah makanan saya dengan senyuman yang memuaskan, itu membuatkan hari saya menjadi istimewa."

"SEMUANYA SUDAH DALAM KEPALA SAYA"

Rutin harian Cik Aini bermula sebelum orang lain mula masuk tidur. 

Lazimnya, dia bangun pada pukul 3 pagi, memastikan bahawa bahan-bahan untuk hari itu cukup dan sedia. Sekitar satu jam kemudian, dia meninggalkan rumahnya di Yishun dan tiba di Sekolah Menengah Beatty pada pukul 4.15 pagi.

Dua jam seterusnya dihabiskan untuk membuat persiapan dengan bantuan sepupunya, yang biasanya tiba kemudian pada pagi itu. 

Ketika pelanggan pertama tiba pada pukul 6.30 pagi, kebanyakan hidangan di gerai nasi padang “Mamak Mia” itu telah pun tersedia. 

"Saya perlu bersantai, kosongkan kepala dan tahu apa menu hari ini," kata Cik Aini. “Ini sudah menjadi rutin normal, bagaimana saya tahu apa yang hendak dimasak, hari yang hendak dimasaknya, hidangan apa yang hendak dimasak setiap hari. Jadi semuanya sudah ada dalam kepala saya.”

Cik Aini mencedok nasi ke dalam pinggan untuk pelanggan di kantin Sekolah Menengah Beatty. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Terdapat tawaran menu istimewa pada kebanyakan hari – nasi ayam pada Isnin, roti jala pada Selasa, lontong pada Rabu dan nasi beriani pada Khamis.

Ramai yang menantikan hari Khamis - nasi beriani masakan Cik Aini mempunyai peminat setia. Sesetengah guru membuat pesanan mereka terlebih dahulu. Ada juga yang menghantar pesanan mereka melalui teks kepadanya. 

“Apa yang mereka suka adalah nasi beriani saya, rendang daging lembu dan sambal goreng saya,” katanya.

"Bila mereka datang pada waktu pagi, mereka bertanya: 'Bolehkah anda mengambil tempahan saya untuk ini?' Sesetengah orang akan menghantar teks kepada saya pada malam sebelumnya: 'Esok, nasi beriani untuk 4 orang.'"

Cik Aini cuba untuk membantu pelajar dengan apa jua cara yang dia mampu - sama ada dengan murah hati memberi jumlah makanan yang banyak atau secara percuma.

"Saya dapat rasa apabila ada seorang pelajar itu ada duit yang cukup atau tidak ... Mereka hanya berkeliaran tetapi mereka tidak mahu makan," katanya.

Cik Aini menambah acar ke dalam pinggan yang diisi nasi. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

“Yang paling penting bagi saya adalah memastikan bahawa kanak-kanak ini ada makanan yang cukup untuk dimakan dan mengisi perut mereka. Ini membuatkan mereka dapat belajar dengan baik, kerana jika mereka pergi (ke kelas) dengan perut kosong, mereka tidak boleh belajar.”

Dia juga berhasrat untuk menjadikan (harga) makanannya berpatutan untuk para pelajar. Cik Aini tidak menaikkan harga makanan meskipun inflasi.

“Bagi saya, harga mesti berpatutan. Seperti yang anda tahu, ada sesetengah pelajar datang dari keluarga yang susah,” katanya.

“Sejak hari pertama lagi, apabila saya memulakan perniagaan ini, saya selalu memberitahu pada diri saya bahawa saya lakukan ini untuk kanak-kanak … Apabila mereka mahu makan, saya pastikan mereka ada secukupnya, dan jika tidak, saya akan bantu mereka.”

Suaminya Encik Junaidi Ahmad menambah: "Apa yang dia fikir adalah sekiranya para pelajar itu adalah anak kami di sekolah lain, bagaimana perasaan anda sekiranya anak anda tidak dapat makan?"

Pada masa yang sama, Cik Aini bukan saja memandang kerjayanya sebagai penyedia makanan semata-mata.

Dia mengimbau kembali bagaimana pada hari permulaannya berniaga  di Sekolah Menengah Monk's Hill, dia pernah menegur pelajar yang menggunakan bahasa kesat. 

"Semasa saya memulakan kerja di Monk's Hill, saya sangat tegas dengan pelajar. Saya memberitahu mereka: 'Jangan sekali-kali guna kata-kata kesat ini. Kalau kamu gunakan lagi, saya akan halau kamu keluar dari kedai,'" ceritanya. 

“Sehingga kamu mengubah diri anda dan tidak guna kata-kata kesat lagi, saya akan benarkan kamu makan. Jika tidak, pergi ke belakang (dalam barisan) ... Apabila mereka datang ke kedai saya, mereka memastikan tidak menggunakan sebarang perkataan kesat."

BANTUAN, SOKONGAN SUAMI

Cik Aini berkata bahawa dia hanya mampu melaksanakan kerja itu dengan bantuan suaminya. Perkahwinan mereka kini sudah hampir 40 tahun. 

Semasa suaminya masih bekerja, Encik Junaidi akan menghantar Cik Aini ke sekolah setiap hari sebelum menuju ke tempat kerjanya di Paya Lebar. Ini bermakna dia akan berada di tempat kerja kira-kira dua jam lebih awal daripada waktu sepatutnya bermula. 

“Sebagai suami, jika anda tidak memberikan sokongan moral, kalau ada apa-apa berlaku, anda akan menyalahkan diri anda sendiri kerana … ini isteri anda. Dia bukan jiran anda, bukan kawan anda. Jika anda tidak sokong, siapa lagi yang akan sokong dia?” katanya.

Cik  Aini amat menghargai bantuan serta sokongan diberi suaminya. 

“Dia sentiasa memberi saya sokongan dalam apa sahaja yang saya buat, sentiasa (memberitahu saya) berfikiran positif dan fokus pada apa yang saya buat,” katanya.

Kini setelah dia bersara, Encik Junaidi masih menghantar dan menjemput isterinya dari sekolah setiap hari. Dia juga terus menemani isterinya untuk membeli barangan runcit setiap hujung minggu.

“Saya menasihatinya supaya tidak memberi tekanan kepada dirinya sendiri. Ambil masa, jika dia fikir dia tidak mampu, dia boleh beritahu saya dan kita boleh berhenti. Tapi dia kata dia boleh,” katanya.

"Dia suka memasak, dia suka melayan orang dan menggembirakan para pelajar."

Satu lagi bantuan yang tidak ternilai bagi Cik Aini datang dari sepupunya yang telah menjadi pembantunya selama lebih sedekad.

Pelajar Sekolah Menengah Beatty beratur di kantin semasa waktu rehat. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

“Penting (untuk ada dia) di sini kerana sedikit sebanyak dia meringankan beban saya dan keletihan saya, kerana ada orang yang boleh ambil alih sedang saya boleh duduk (berehat) sebentar," kata Cik Aini.

Pelajar juga mempunyai cita rasa mereka masing-masing. Puan Aini ingat bagaimana mereka menolak beras perang apabila dia mula menghidangkannya.

Untuk menyesuaikan diri dengan cita rasa pelanggan, dia memutuskan untuk menggunakan beras perang kristal, yang kelihatan sama seperti beras putih biasa.

“Saya tidak suka orang membazir makanan. Jadi kami mendapatkan pengganti ini … Walaupun ia agak mahal, saya tidak kisah, asalkan pelajar suka.”

"KEGEMBIRAAN JELAS TERPANCAR"

Setelah bekerja selama 21 tahun, Cik Aini dengan rasa tersentuh menceritakan bagaimana sesetengah pelajar terus berhubungan dengannya.

“Saya berasa sangat gembira dan sangat berbesar hati serta menghargai mereka kerana menghubungi saya. Setidaknya mereka ingat saya … mereka berkata 'Saya akan selalu merindui makanan puan',” katanya.

Sumbangan dan jasa Cik Aini bukan saja dihargai dan diiktiraf para pelajar tetapi juga oleh kakitangan sekolah. 

“Beliau seorang wanita yang mesra dan peramah yang memberi perhatian yang cukup terhadap nutrisi, memastikan anak-anak mendapat makanan yang baik, dan mereka mampu membeli makanan itu. 

“Beliau melakukannya dengan kegembiraan yang jelas terpancar di wajahnya. Dan saya rasa sesiapa sahaja di sekelilingnya akan turut sama merasai kegembiraan itu, sama ada pelajar atau guru,” kata pengetua sekolah Harman Johll.

“Semangat dalam pekerjaan itu sangat jelas. Ia cukup memberikan inspirasi kerana beliau sudah lama buat kerja itu. Ia amat menakjubkan apabila (melihat) beliau masih bertenaga untuk meneruskannya.”

Hidangan nasi padang Cik Aini disediakan di gerainya Mamak Mia Nasi di Sekolah Menengah Beatty. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Dengan cara tersendiri, Cik Aini meneruskan legasi ibunya dalam menghidangkan makanan yang enak.

"Jika dia (ibu saya) melihat apa yang saya sudah buat sekarang, dia pasti gembira," kata Cik Aini. "Apa saja yang dia ajar kepada kami ... saya ambil (ilmu itu) dan saya boleh buat."

Meskipun pekerjaan itu memenatkan, Cik Aini berazam untuk meneruskan selagi mampu.

“Apabila saya memikirkan pelajar, saya sentiasa memikirkan anak-anak saya. Cukupkah makanan mereka? Itu membuatkan saya mahu teruskan,” katanya.

“Sehingga sekolah memberitahu yang mereka tidak memerlukan saya lagi, maka terpaksalah. Tetapi selagi saya boleh teruskan, saya akan teruskan.”

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini tentang Program KidStart Singapura yang mahu bantu keluarga berpendapatan rendah. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement