Skip to main content
Advertisement
Advertisement

Malaysia

'Hampir putus asa’: Cabaran bekas penghuni menghadapi realiti hidup selepas keluar dari rumah jagaan

Hampir 600 kanak-kanak dan remaja tinggal di rumah jagaan di Singapura. Para penyedia khidmat sosial memberitahu CNA Insider apa yang boleh dilakukan untuk memudahkan anak-anak muda ini kembali ke pangkuan masyarakat.  

'Hampir putus asa’: Cabaran bekas penghuni menghadapi realiti hidup selepas keluar dari rumah jagaan
Setiap tahun sekitar 15 belia dibenarkan keluar dari rumah jagaan kanak-kanak dan remaja untuk hidup berdikari, kata Kementerian Sosial dan Keluarga, MSF Singapura. (Gambar: iStock/FotoDuets)

SINGAPURA: Pada usia empat tahun, dia ditempatkan di rumah jagaan bagi kanak-kanak yang telah diabaikan atau mengalami penderaan. 

James (bukan nama sebenar) pernah tinggal di rumah sedemikian  sehinggalah dia berusia 18 tahun, dimana dia terpaksa berpindah keluar.

Dia terpaksa mula memikirkan perkara tersebut ketika berusia 16 tahun dan telah membincangkan hal itu dengan pekerja sosialnya di rumah jagaan Melrose Home. Seorang mak saudaranya bersetuju untuk menerimanya tinggal bersama.

Proses peralihan itu ternyata "terlalu cepat" dan "agak sukar", dan usaha untuk dia tinggal bersama mak ciknya itu gagal berkekalan. 

Mak ciknya tinggal di sebuah flat empat bilik yang sudah pun dihuni  oleh empat orang lain. James tidur di ruang tamu dan tanpa ruang peribadi, dia berasa "agak terdedah". 

Tambah pula dengan adanya situasi tegang apabila seorang ahli isi rumah itu membuat James terasa dirinya adalah satu "beban". "Dia tidak perlu mengungkapnya, saya dapat merasakannya," kata James, yang kini berusia 22 tahun dan meminta supaya nama sebenarnya dirahsiakan.

Pada bulan ketiga, dia mula tidak tahan dengan keadaan di tempat tinggalnya. Tetapi dia tiada tempat lain untuk ditujui. 

James memperolehi pendapatan kira-kira S$1,000 (RM3,390) sebulan dengan bekerja sambilan dalam industri makanan dan minuman. Perbelanjaan bulanan peribadinya berjumlah S$600 hingga S$700 dan perlu menyumbang S$50 hingga S$100 untuk perbelanjaan isi rumah. Yuran politekniknya menelan belanja sebanyak S$400 hingga S$500 setiap semester. 

Dia mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menemui satu alternatif lain: Seorang teman wanitanya tinggal bersama datuk dan neneknya di sebuah flat sewa dan mempunyai ruang untuk James tinggal bersama. Peluang itu datang tepat pada waktunya, ketika dia sudah “hampir putus asa", menurut James.  

Dia juga mendapati usaha untuk menyara dirinya sambil mengejar diploma ternyata sangat membebankan. “Saya terpaksa fikir soal wang setiap masa. Saya perlu merancang lebih awal," katanya. Sebagai contoh, jika dia gagal mendapat kerja giliran syif di tempat kerjanya, dia akan "kehilangan wang dan perlu merancang semula". 

"Semua ini berulang beberapa kali. Kemudian timbul pula beban kerja-kerja (pengajian) politeknik, jadi saya terpaksa mengimbangi semuanya itu. Ia memang payah," katanya.

Kerja berkumpulan untuk projek politeknik sering diadakan pada hari Sabtu, apabila dia terpaksa bekerja. Dia akan memberitahu rakan-rakan kerjanya bahawa dia terpaksa ke tandas, dan bergegas menyertai rakan pekajar projeknya yang berdekatan selama 15 minit. Apabila dia kembali ke tempat kerja, mereka akan bertanya mengapa dia mengambil masa yang lama (di tandas). 

“Kadang-kadang saya akan membuat (kerja projek) semasa waktu rehat saya, (tetapi) saya sudah pun berasa sangat letih,” katanya. 

Pada masa itu, "hampir setiap hari adalah hari yang tidak baik", katanya. "Saya berasa seperti separuh sedar sepanjang masa, jadi saya terpaksa mengheret (diri saya) untuk mengharungi hari tersebut.” 

Dia mendapat purata mata gred 0.8 dalam tahun pertamanya di politeknik dan akhirnya terpaksa meninggalkan pengajian.

Kanak-kanak penghuni Melrose Home, salah sebuah rumah jagaan berlesen di Clementi Road. (Gambar: Persatuan Bantuan Kanak-kanak)

PROSES YANG 'MEMBANGKITKAN KEBIMBANGAN’

Biasanya anak-anak yang ditempatkan di rumah jagaan hanyalah untuk sementara sahaja bagi mereka yang menghadapi masalah pengabaian atau penderaan oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Terdapat 21 rumah jagaan berlesen di Singapura dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengendalikan dua rumah jagaan untuk belia. 

Sehingga akhir tahun lepas, hampir 600 kanak-kanak dan belia menghuni rumah-rumah jagaan ini, kata jurucakap MSF. 

Bagi kebanyakan kanak-kanak, mereka berjaya dari masa ke masa, untuk berintegrasi semula dengan keluarga masing-masing dengan selamat. 

Tetapi ada yang tidak mempunyai keluarga atau saudara untuk kembali apabila mereka mencapai usia 21 tahun, had umum untuk dibenarkan terus tinggal di kediaman itu. Setiap tahun purata 15 belia dibenarkan keluar dari rumah jagaan kanak-kanak dan rumah tumpangan belia, untuk hidup berdikari, kata MSF.

Bagi golongan belia ini, langkah seterusnya selepas keluar dari rumah jagaan itu adalah satu loncatan bagi mereka berhadapan dengan dunia di mana mereka perlu berjuang untuk membela diri sendiri. 

Peralihan ini dipenuhi dengan kebimbangan dan cabaran, kata para profesional kerja sosial, yang percaya banyak lagi boleh dilakukan untuk memudahkan proses ini.

"Sebenarnya, ia adalah satu peralihan yang agak besar — dari rumah (jagaan) di mana terdapat akses mudah kepada kakitangan untuk mendapatkan bantuan, kepada (situasi di mana tiada) sesiapa untuk membantu sama sekali," kata Soh Ying Si, pengurus kumpulan penilai sosial di Melrose Home, yang dikendalikan oleh badan amal, Persatuan Bantuan Kanak-kanak.

Pada usia itu, belia-belia ini mungkin belum menamatkan pendidikan tetapi sudah memerlukan pendapatan dan tempat tinggal.

Mencari tempat tinggal biasanya adalah cabaran pertama. Mereka secara amnya tidak mampu membayar sewa pasaran untuk sebuah bilik. Mereka juga tidak memenuhi syarat untuk menyewa flat awam jika mereka belum berkahwin atau tidak mempunyai anak; pemohon mesti berusia sekurang-kurangnya 35 tahun untuk diterima di bawah Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang. 

Kemudian, mereka perlu mencari peluang pekerjaan yang baik serta berjangka panjang. "Sebab jika anda hidup berdikari, anda perlu mempunyai sumber pendapatan," kata Cindy Ng-Tay, pengarah Melrose Home.

Pengarah Melrose Home, Cindy Ng-Tay bersama pengarah eksekutif Persatuan Bantuan Kanak-kanak, Alvin Goh. (Gambar: Neo Chai Chin/CNA)

Belia yang masih belajar memerlukan pekerjaan sambilan untuk membolehkan mereka menamatkan pendidikan, katanya.

Golongan belia juga memerlukan rangkaian sokongan. Bagi rakan sebaya mereka yang mempunyai keluarga, ini bermakna mereka biasanya mempunyai "orang dewasa yang akan memberi mereka nasihat, yang akan menyelamatkan mereka jika mereka membuat keputusan yang tidak baik, yang akan memberi mereka bantuan kewangan apabila mereka memerlukannya, dan yang akan memberi mereka sokongan emosi untuk melalui setiap tahap pembesaran”. 

“Belia-belia ini tidak mempunyai sokongan seperti itu. Jadi mereka sangat takut, walaupun mereka mungkin kelihatan macho,” katanya. “Peralihan begini menimbulkan kebimbangan (kepada mereka)."

Bagi remaja yang pernah mengalami pengabaian atau penderaaan,  mereka berada "beberapa langkah keterbelakang" dan ini juga perlu diambil kira, katanya. "Adakah mereka telah mengatasi sejarah trauma mereka? Mampukah mereka mengurus diri sehingga tahap di mana mereka boleh menjaga diri sendiri?"

MENGHADAPI REALITI

"Realiti" adalah perkataan yang sering muncul semasa wawancara  penerbit untuk laporan ini.  

Terdapat realiti kehidupan di rumah jagaan, dengan para penghuninya menerima hakikat bahawa mereka berbeza dengan rakan sebaya yang tinggal bersama keluarga iaitu tidak perlu risau tentang tempat tinggal atau perlu bekerja sambilan semasa belajar. Belia-belia berkeluarga boleh keluar lewat malam dan menghabiskan wang untuk perkara seperti tiket konsert.

Raymond Low masih ingat ketika dibawa ibunya ke Rumah Kanak-kanak Methodist Chen Su Lan (CSLMCH) pada usia enam tahun. “Saya berasa keliru, saya berasa amat bingung pada mulanya,” katanya. 

“Ia adalah tempat yang sangat besar dan bukan rumah biasa (yang saya kenali). Apabila ibu meninggalkan tempat itu saya beransur-ansur menyedari ini adalah realiti, dan saya tahu secara kasar, bahawa ibu saya telah meninggalkan saya."

Dia tidak ingat sama ada dia menangis. “Kebanyakan orang akan menangis (pada malam pertama mereka); ia seperti satu ritual,” katanya. 

Tetapi pegawai rumah jagaan “sangat penyayang", dan dia berasa lebih selesa. 

“Apa yang banyak membantu adalah adanya ramai kanak-kanak lain di sana, jadi ia berjaya mengalihkan perhatian saya kepada permainan dan sebagainya," terkenang pemuda berusia 25 tahun itu, yang pernah tinggal di rumah tersebut sehinggalah berusia 18 tahun.

Raymond Low ialah bekas penghuni Rumah Kanak-kanak Methodist Chen Su Lan. (Gambar: Neo Chai Chin/CNA)

Dia menyertai program harian dan dapat berjumpa dengan ibunya pada hujung minggu. "Secara perlahan, anda akan terbiasa dengan rutin itu, saya dapat menyesuaikan diri dengan baik," kata Raymond, yang mempunyai tiga adik-beradiknya yang turut menghuni rumah itu setahun dua kemudian. 

Di rumah jagaan, proses untuk ‘membina’ seseorang kanak-kanak itu  bermula awal. Ia termasuklah usaha-usaha pihak kakitangan untuk mempersiapkan para belia — dengan sebaik yang mungkin — dalam  menghadapi dunia sebenar sebaik sahaja mereka memulakan hidup bersendirian.

Di CSLMCH, penghuni mempunyai akses kepada bantuan terapi, bantuan akademik dan program perkembangan, kata pengarah eksekutif Low Kee Hong. Ini adalah perkhidmatan yang dapat ditawarkan oleh rumah jagaan itu atas usaha pengumpulan dana di samping pembiayaan kewangan oleh pemerintah. 

Kanak-kanak tinggal dalam kumpulan 10 hingga 15 orang di dormitori yang dilengkapi dengan ruang tamu, dapur kecil dan bilik tidur. Setiap dormitori biasanya dikendalikan oleh dua orang pegawai penilai kediaman yang tinggal bersama.

"Kami bukanlah sebuah rumah yang menyediakan penginapan dan makanan sahaja. Kami menyediakan banyak khidmat profesional untuk kanak-kanak agar mereka dapat memulihkan ... kehidupan mereka dengan perspektif dan peluang yang baru," kata Low.

Kerja berkumpulan diamalkan untuk menyediakan sokongan emosi kepada penghuni. (Gambar: Rumah Kanak-kanak Methodist Chen Su Lan)

Rumah ini juga mengupah pembersih, tukang masak dan kakitangan sokongan yang lain, ini bermakna kanak-kanak dikelilingi oleh orang yang dikenali, selamat dan penyayang, kata Low. Semasa majlis sambutan Krismas tahun lalu, dua anggota pasukan pembantu  terpilih sebagai tokoh digemari kanak-kanak di rumah itu, katanya.

Di Melrose Home, Melrose Heroes adalah program kemahiran hidup selama setahun yang disesuaikan untuk penghuni pelbagai peringkat umur. Mereka belajar tentang diri mereka serta keselamatan diri. Remaja yang lebih tua akan belajar tentang kewangan peribadi dan persediaan untuk pekerjaan. 

Seperti CSLMCH, Melrose mengumpul dana untuk mengambil lebih ramai pekerja sosial dan kakitangan rumah jagaan kediaman serta menyediakan perkhidmatan seperti terapi, Melrose Heroes, tuisyen akademik dan aktiviti lain.

Lebih banyak sokongan akan diberikan menjelang hari pelepasan belia — dan selepas itu, suatu proses yang dikenali sebagai rumah jagaan lepas penginapan. Rumah-rumah tersebut berkata mereka juga mengumpul dana mereka sendiri untuk membantu golongan belia yang telah dilepaskan. 

Pasukan penilai keluarga CSLMCH akan mengikuti perkembangan belia selama beberapa tahun selepas pelepasan mereka, kata Low. Ini dilakukan melalui panggilan telefon atau perbualan video secara bulanan, mengadakan pertemuan bahkan menjemput mereka yang baru dilepaskan daripada latihan reformatif. 

Rumah ini juga membantu menghubungkan belia-belia yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan bantuan dan penajaan. Penderma membantu dengan perbelanjaan sara hidup dan pendidikan, manakala rumah jagaan akan memantau perkembangan belia, dengan memastikan mereka bertanggungjawab setiap semester, kata Low.

Contohnya, baru-baru ini Raymond berjaya menamatkan pengajian dalam kejuruteraan kimia di Universiti Nasional Singapura dengan CSLMCH membayar yuran universitinya untuk dua tahun pertama dan seorang penderma menaja dua tahun berikutnya. Dia juga menerima S$300 sebulan sebagai wang saku dan menambah pendapatan dengan memberi tuisyen.

“Ia sentiasa mengenai bagaimana untuk menghadapi realiti dan berdepan dengan diri sendiri, menentukan kehidupan sendiri dan menambah sinar ke arah masa depan. Itulah matlamat kami untuk setiap kanak-kanak, tanpa mengira usia,” kata Low.

Raymond bersama pengarah eksekutif Rumah Kanak-kanak Methodist Chen Su Lan, Low Kee Hong (kiri) dan ahli pasukan sokongan Keith Ang. (Gambar: Neo Chai Chin/CNA)

Belia Melrose yang "berumur" akan dihubungkan dengan pusat perkhidmatan keluarga dan sumber komuniti lain oleh pekerja sosial rumah jagaan. 

Ini boleh menjadi "agak tegang" kerana para belia boleh menjadi cemas, jadi pekerja sosial akan bertemu dengan belia yang dilepaskan hampir setiap minggu selama kira-kira enam bulan dan menemani belia tersebut ke sesi-sesi awal dengan kakitangan pusat perkhidmatan keluarga, kata Ng-Tay.    

Untuk memberi para belia Melrose satu asas yang lebih baik sebelum mereka "dilancarkan ke dalam komuniti", seperti yang dikatakannya, rumah itu telah memulakan Program Hidup Berdikari selama dua hingga tiga tahun pada bulan Julai lalu. 

Ia bertujuan untuk melengkapkan belia Melrose yang berumur 17 tahun dan ke atas untuk berdikari, bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri dan mampu membuat keputusan secara bebas.

Lapan belia — termasuk James dan tujuh penghuni lelaki - membentuk kumpulan sulung program ini. Mereka mengikuti kursus seperti memasak dan sesi mengenal pasti cita-cita kerjaya dan perancangan jangka panjang. 

Rumah itu telah mendapatkan seorang perancang kewangan untuk menerangkan tentang simpanan, Tabung Simpanan Pekerja, insurans, pelaburan dan cukai selama tiga sesi, serta firma hartanah untuk menerangkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menyewa tempat.

Bagi empat pemuda yang tidak mempunyai keluarga, pekerja sosial akan bersama mereka dalam perjalanan mencari tempat untuk disewa. Program ini meliputi soal perbelanjaan rumah termasuk soal sewa dan bil api air, dengan golongan belia itu menyumbang sejumlah wang yang mereka mampu, kata Ng-Tay.

Pemaju hartanah CapitaLand adalah penaja tahun pertama program ini. 

Komponen perbelanjaan rumah itu muncul kerana belia-belia itu berkata mereka mahu tinggal bersama selepas meninggalkan rumah penjagaan, mungkin untuk menjimatkan wang dan kerana mereka adalah kawan yang "agak rapat", kata Soh. 

Bagi Aiswarya Ajith dan rakan-rakan sekerjanya, melihat anak-anak muda ini menjaga satu sama lain adalah sesuatu yang menggembirakan hati.

Pekerja sosial Melrose Home Aiswarya Ajith dan Soh Ying Si. (Gambar: Neo Chai Chin/CNA)

Ketika melihat-lihat sebuah unit flat sewa dengan bilik yang berbentuk ganjil, James menolak cadangan untuk meletak katil dua tingkat kerana tempat tidur di atas akan berasa terlalu tidak selesa, walaupun seorang budak lelaki sanggup tidur di situ. "Mereka tidak mementingkan diri sendiri ... walaupun mereka suka bertengkar," kata Soh. 

Dalam perjalanan ke Ikea untuk menyemak harga perabot, keempat-empat lelaki itu mempertimbangkan untuk tidak membeli katil yang mempunyai rangka serta berpendapat bahawa membeli meja makan adalah lebih baik daripada membeli beberapa meja belajar.

"Kami membawa mereka ke Ikea (dan) Harvey Norman (untuk mendedahkan) mereka kepada realiti, dan juga untuk mengajar (mereka) cara mengutamakan apa yang mereka perlukan," kata Soh.

Namun, pasaran hartanah yang sangat sengit, menimbulkan kebimbangan. Sebuah unit yang telah mereka kunjungi telah diambil oleh pihak lain kurang daripada satu jam kemudian, manakala seorang lagi tuan rumah memutuskan untuk menyewa rumahnya kepada sebua keluarga dan bukannya kepada mereka, kata Soh.

Ini membuat mereka bertanya, "Apa akan terjadi jika, dalam masa enam bulan lagi, kami masih belum dapat mencari rumah? Apa yang akan terjadi kepada kami?"

"Kebimbangan yang berterusan" ketika dia berkongsi perjalanan dengan belia-belia itu, kata Aiswarya. "Adakah mereka akan bertahan jika ditinggalkan sendirian?"

SOKONGAN AKAN TERUS DIKAJI SEMULA 

Menjawab pertanyaan CNA Insider, MSF menyatakan ia komited untuk menyokong kanak-kanak dan orang muda yang tidak dapat disatukan semula dengan keluarga atau saudara mereka walaupun semua pihak telah berusaha. 

Para profesional khidmat sosial akan mempersiapkan anak muda untuk hidup berdikari kira-kira enam bulan sebelum pelepasan mereka, kata seorang jurucakap. Golongan belia akan dihubungkan dengan pusat khidmat keluarga untuk sokongan pasca pelepasan bagi melancarkan peralihan dari rumah ke komuniti.

Mereka akan dirujuk ke pejabat perkhidmatan sosial jika mereka memerlukan bantuan kewangan atau sokongan pekerjaan. Mereka juga boleh dihubungkan dengan pendamping komuniti dan mentor. 

Belia yang melanjutkan pengajian tinggi selepas dilepaskan boleh memohon dermasiswa kerajaaan dan bantuan kewangan yang diberikan oleh sekolah untuk menguruskan yuran dan perbelanjaan yang berkaitan di institusi pengajian tinggi yang dibiayai oleh pemerintah, kata MSF. "Mereka boleh menghubungi pejabat bantuan kewangan institusi masing-masing untuk mendapatkan bantuan dan nasihat mengenai pilihan pembiayaan yang ada."

Bagi mereka yang memerlukan perumahan, para profesional khidmat sosial boleh memudahkan rujukan ke hostel, sewaan atau pilihan perumahan lain, kata jurucakap itu. Sesetengah rumah jagaan  membenarkan para belia terus tinggal disana, sementara yang lain akan memberi sokongan kewangan tambahan dan kerap berhubung dengan belia-belia, katanya. 

MSF berkata mereka akan terus mengkaji semula sokongan bagi belia selepas mereka keluar daripada penilai negara. Orang ramai yang berminat untuk menyokong belia yang kurang bernasib baik atau untuk matlamat kebajikan yang lain boleh menyertai MSFCare Network (go.gov.sg/msfcarenetwork ) sebagai sukarelawan, tambahnya.

MEMBERIKAN YANG TERBAIK 

Namun demikian, belia-belia yang keluar dari rumah jagaan pada usia yang lebih tua memerlukan lebih banyak akses kepada perumahan mampu milik di komuniti. Mereka juga memerlukan sedikit bantuan kewangan ketika mereka sedang berusaha berdikari, kata para profesional perkhidmatan sosial. 

Peluang untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental yang berpatutan juga akan memberi manfaat, begitu juga dengan seorang mentor yang berdedikasi.

"Apa yang benar-benar akan membantu adalah mentor yang berdedikasi, seseorang yang anda lihat sebagai abang atau kakak yang lebih tua," kata Raymond, yang terus berhubung dengan dua kakitangan CSLMCH selepas dia meninggalkan rumah itu. 

"(Seorang mentor) boleh membuat anda bertanggungjawab (dan menjadi) seseorang yang anda boleh bergantung, (yang akan) berjalan seiringmu dan membantu anda mengatasi ... pengalaman masa lalu serta perjuangan emosi."

Ang adalah salah seorang kakitangan yang terus dihubungi oleh Raymond sejak dia meninggalkan rumah jagaan. (Gambar: Neo Chai Chin/CNA)

Raymond kini tinggal bersama ibunya bersama-sama dengan adik-beradiknya. Ketika  meninggalkan CSLMCH pada tahun 2016, beliau berasa teruja dan juga bimbang kerana mereka semua akan tinggal bersama buat kali pertama sejak lebih sedekad.

Oleh kerana dia sendiri membesar di rumah jagaan, Raymond tidak fikir dia dapat berkawan rapat di sekolah kerana bimbang mereka akan melayannya secara berbeza jika mereka tahu  latar belakang dirinya. 

Hanya pada tahun ini dia dapat mengatasi banyak keraguannya serta dapat melihat keluarganya "dari sudut yang berlainan”. "Saya benar-benar mahu rapat dengan mereka dan benar-benar mahu melindungi keluarga ini," katanya. Perubahan itu telah membuatkan dia berasa "(bebannya) semakin lebih ringan".

Belia tidak seharusnya berasa bersendirian dalam tempoh peralihan dan dalam mencari penyelesaian untuk menghadapi cabaran, kata Yeo Bee Lian, pengarah perkhidmatan dan program di agensi khidmat sosial Trybe, yang menguruskan Singapore Boys' Hostel.

Pada tahun 2016, Trybe memulakan program ketahanan belia dalam transisi (Growing Resilient Youth-in-Transition, GRYT) untuk memberi sokongan lepas rumah jagaan untuk belia yang dibenarkan keluar dari Singapore Boys' Hostel. Tahun lepas, GRYT mula menerima rujukan dari rumah kanak-kanak lain dan mempunyai belia dari empat hingga lima rumah di bawah sayapnya.

Para belia dirujuk sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pelepasan mereka. Seorang pekerja sosial ditugaskan untuk berkawan dan membina hubungan dengan individu tersebut dan mengenal pasti matlamat dan bidang sokongan yang dia mahukan semasa peralihan, kata Yeo.

Pekerja sosial akan menyusul dengan belia selama 12 hingga 15 bulan selepas pelepasan mereka dan menghubungkan mereka dengan sumber komuniti yang boleh mereka manfaatkan.

Trybe menubuhkan GRYT selepas menyedari bahawa beberapa belia ingin terus berhubung dan memerlukan beberapa bentuk sokongan selepas mereka meninggalkan Singapore Boys' Hostel, kata Yeo. "Kami juga dapat perhatikan sekumpulan pemuda yang mencapai kemajuan yang sangat baik ketika dalam penilai tetapi tidak dapat mengekalkannya sejurus selepas mereka dibenarkan keluar."

Keadaan ini "bukan begitu mudah" bahawa mereka yang berjaya di rumah jagaan akan juga berjaya apabila mereka berdikari – oleh sebab itu, program berstruktur Trybe diwujudkan.

Untuk meningkatkan sokongan bagi belia berumur yang keluar dari rumah penjagaan, badan-badan amal mesti mengumpul lebih banyak dana.

Program percubaan awal GRYT dibiayai oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan, kata Yeo. Ia juga merupakan usaha amal yang disokong oleh Yayasan Masyarakat Singapura, dan Trybe sedang berusaha mengumpul dana untuk program itu melalui syarikat korporat dan menerusi cara lain.

CSLMCH sedang menjalankan kempen pengumpulan dana untuk dana pendidikan dan perkembangan.

Sementara itu, Persatuan Bantuan Kanak-kanak  sedang membangunkan semula Melrose Home di premisnya di Clementi Road kerana bekas bangunan itu mengandungi masalah asbestos (Asbestos adalah bahan bangunan yang digunakan pada masa lalu yang membawa risiko kesihatan yang serius).

Bekas bangunan Rumah Melrose di Clementi Road. (Gambar: Persatuan Bantuan Kanak-kanak)

Lokasi sementara Melrose terletak di Boon Lay Avenue. Rumah baharu itu, yang digelar Melrose Village, akan menjadi kunci dalam menyediakan rumah jagaan yang lebih baik untuk kanak-kanak dan remaja, kata pengarah eksekutif Persatuan Bantuan Kanak-Kanak Alvin Goh.

Rancangannya adalah untuk menyediakan tempat untuk anak-anak muda yang berusia sekitar 18 tahun tetapi tidak mempunyai kemahiran pengurusan diri yang mencukupi atas sebab-sebab seperti pengalaman masa lalu yang lebih traumatik. "Kami akan memberikan mereka yang terbaik daripada kami," kata Ng-Tay.

"Jika kita mempunyai masa dengan mereka, ia hanya sehingga (mereka mencapai umur) 21, jadi kita akan melakukan yang terbaik dalam tempoh tersebut untuk mengajar mereka kemahiran hidup berdikari."

Melrose Village akan mempunyai persekitaran tempat tinggal yang lebih menyerupai kekeluargaan, bilik terapi khusus dan bilik yang dibina untuk kerja pengintegrasian semula keluarga. Melrose Care, anak agensi rumah jagaan itu, yang menyediakan kaunseling bersubsidi dan terapi khusus untuk kanak-kanak dan keluarga mereka, juga akan ditempatkan di sana.

Melrose Care menyediakan terapi khusus, seperti terapi seni dan terapi bermain, serta penilaian dan rawatan psikologi untuk kanak-kanak dan remaja. (Gambar: Persatuan Bantuan Kanak-kanak)

Sekitar S$5.5 juta daripada S$22 juta yang diperlukan untuk membina semula rumah itu telah dikumpulkan setakat ini, dan badan amal itu sedang mencari rakan kongsi, kata Goh.

Sementara itu, terdapat berita baik bagi peserta dalam komponen perumahan Program Kehidupan Berdikari: Selepas melihat lebih daripada 50 unit, mereka berjaya menemui tempat baru untuk disewa dan telah diberi kunci baru-baru ini. 

James juga telah mendaftar diri bagi Perkhidmatan Negara dan merancang untuk kembali ke politeknik selepas itu untuk menamatkan pengajiannya di peringkat diploma.

Bagi Ng-Tay dan rakan-rakannya, impian mereka adalah agar belia Melrose menjadi penyumbang kepada masyarakat. "Bayangkan mereka tinggal dalam komuniti di mana terdapat campuran rumah sewa dan flat yang dibeli; dan belia-belia kami pula itu membentuk rangkaian sumber bagi keluarga-keluarga lain, (dalam memenuhi keperluan mereka masing-masing),” tambahnya. 

"Mereka tidak boleh dianggap sebagai satu kekurangan kepada masyarakat. Jadi bagaimana kita akan melaksanakan tugas ini agar mereka boleh menjadi penyumbang, dan bukan hanya penerima khidmat (kebajikan)?” 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris. 

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pengesah bertauliah barang-barang tulen.  

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih
Advertisement

Also worth reading

Advertisement